KLUANG, 12 JAN: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan terjadi semalam berhampiran kawasan perumahan di Jalan Kluang-Kota Tinggi dekat Gunung Lambak.
Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, kejadian tanah runtuh itu berlaku di jalan Kota Tinggi, Bandar Seri Impian ke arah Bandar Tenggara.
“Orang ramai diminta berhati-hati ketika melalui Jalan Kota Tinggi dari Bandar Seri Impian ke Bandar Tenggara,” memurut kenyataan MPK.
Dalam pada itu gambar mengenai kejadian di kawasan berhampiran Gunung Lambak itu tular di laman media sosial.
Sebuah kereta dilihat terperangkap di dalam runtuhan, namun difahamkan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
Terdahulu, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi.
Seramai 42 penduduk yang mendiami 12 rumah di Jalan Bukit Kempas 1/4, Taman Bukit Kempas diarah mengosongkan kediaman selepas berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan mereka.
Manakala dua buah rumah yang masih belum diduduki di sebuah taman perumahan di Bukit Pelali, Pengerang dekat Kota Tinggi terjejas berikutan runtuhan tanah yang dianggarkan dari ketinggian kira-kira 50 meter,
Bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat dalam kedua-dua kejadian.
Johorkini