BM | EN | 中文

KUTIPAN ZAKAT JOHOR LEBIH RM223 JUTA SEHINGGA OKTOBER 2019

gmbr-fail-tosrin.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 24 NOV : Sebanyak RM223,225,180.73 pungutan zakat berjaya dikutip bagi seluruh negeri Johor sehingga Oktober 2019, menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi.

Katanya, kutipan tersebut melalui zakat pendapatan, wang simpanan, perniagaan, emas, perak, tanaman, ternakan, galian, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan zakat fitrah.

“Agihan bagi tahun 2019 sehingga bulan Oktober ialah sebanyak RM224, 003, 413.84 kepada fakir, miskin, amil, muallaf, gharim, ibnu sabil, fi sabilillah dan riqab.

Advertisement

“Bantuan zakat yang diberi kepada golongan fakir dan miskin adalah dalam bentuk bantuan kebajikan seperti bantuan sara hidup bulanan, perubatan, perumahan, hari raya dan pelajaran.

“Bantuan-bantuan ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan,” kata Tosrin pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 sempena Belanjawan Johor 2020 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang Layang) berhubung jumlah kutipan duit zakat Johor 2018 dan 2019 dan cara ia dibelanjakan.

Advertisement

Dalam pada itu Tosrin berkata, kutipan zakat pada 2018 adalah sebanyak RM284,633,256.63, manakala agihan zakat pada tahun tersebut berjumlah RM261,310,155.66 kepada asnaf berkelayakan.

Katanya, selain bantuan berbentuk kebajikan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga menyalurkan bantuan dalam melalui usaha peningkatan ekonomi seperti bantuan berdikari dan pelaksanaan kursus dan latihan kemahiran kepada asnaf zakat.

“Golongan asnaf digalakkan supaya bekerja sendiri dengan mencari peluang-peluang ekonomi seperti berniaga atau menceburi bidang perkhidmatan dan MAINJ membantu dari sudut bantuan modal, peralatan dan menyediakan kursus latihan kemahiran.

Advertisement

“Setiap tahun MAINJ menyediakan peruntukan untuk program ini dan diharap mereka yang kurang bernasib baik akan mengikuti program yang diatur ini untuk merubah masa depan mereka dan keluar dari kemiskinan,”katanya.

Tambahnya, MAINJ juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sebagai agensi yang menjaga kebajikan masyarakat Islam dan memelihara ketinggian syiar Islam di negeri Johor.

Katanya, pengagihan wang zakat yang dilaksanakan ketika ini adalah melalui proses yang ketat dan telus kerana setiap perbelanjaan hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Advertisement

“Perbelanjaan melalui peruntukan wang zakat adalah meliputi semua keperluan asnaf sama ada bagi keperluan individu ataupun yang mencakupi kepentingan umum seperti program pembangunan pendidikan, pembangunan dan pengimarahan masjid dan surau serta peningkatan syiar Islam di seluruh negeri Johor,” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top