KOTA TINGGI, 12 DIS : Johor Corporation (Jcorp) menerusi Kulim (Malaysia) Berhad memperkukuh kerjasama industri dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam usaha untuk memastikan Kulim terus berdaya saing dalam pasaran ekonomi yang semakin mencabar pada masa kini.
Pengarah Eksekutif Kulim, Zulkifly Zakariah berkata, kerjasama berkenaan diperkukuhkan menerusi memorandum perjanjian (MoA) dengan MPOB juga memorandum persefahaman (MoU) dengan Nuklear Malaysia.
Menurutnya, usaha berkenaan bertujuan memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor kelapa sawit dan nanas MD2 di negara ini.
“Bagi memastikan Kulim terus berdaya saing dalam pasaran ekonomi yang semakin mencabar khususnya sektor perladangan, pihak kami mengambil peluang ini untuk memanfaatkan teknologi yang sedia ada daripada kalangan agensi kerajaan seperti MPOB dan Nuklear Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani MoA antara Kulim Berhad Dan MPOB Serta MoU Dengan Nuklear Malaysia, di sini hari ini.
Tambahnya, melalui MoA dengan MPOB sebanyak tiga aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh Kulim iaitu pengecapjarian DNA, Suresawit Virescens dan Suresawit Shell Kit.
Katanya, aplikasi tersebut membolehkan Kulim mengenal pasti dan menentu sahkan baka induk kelapa sawit yang dapat memberi hasil lebih baik dengan lebih cepat dan tepat.
“Ianya memberi penjimatan sehingga lima tahun masa kajian berbanding 20 tahun menggunakan teknologi sedia ada.
“Melalui MoU dengan Nuklear Malaysia pula menerusi penyelidikan dalam penghasilan varieti baharu nanas bagi menghasilkan jenis-jenis nanas baharu yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap penyakit,”katanya lagi.
JohorKini