BM | EN | 中文

Kru bot jatuh ke laut ditemui lemas di perairan Batu Pahat

lemas.jpg
Advertisement

BATU PAHAT, 24 JUN: Mayat seorang kru bot ‘perdagangan barter’, ditemui semalam selepas lelaki itu dilaporkan terjatuh dan hilang di laut apabila bot yang dinaikinya dipukul ribut di perairan Tanjung Segenting, dekat Batu Pahat, kelmarin

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata mayat itu ditemui nelayan di sekitar perairan Tanjung Laboh, Batu Pahat sebelum membuat laporan kepada Pos Hadapan Carilamat (PHC) yang ditubuhkan di Zon Maritim Batu Pahat bagi menyelaras operasi dan menyelamat (SAR), pada kira-kira pukul 4.00 petang.

“Sebuah aset bot maritim dari Zon Maritim Batu Pahat digerakkan ke tempat penemuan iaitu 0.7 batu nautika tenggara dari lokasi kru bot itu dipercayai jatuh ke laut, dan mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Batu Pahat kira-kira pukul 5.45 petang,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Advertisement

Beliau berkata mayat itu kemudian disahkan oleh tekong bot ‘perdagangan barter’ sebagai kru bot yang hilang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan menurutnya susulan penemuan mayat itu, operasi SAR ditamatkan pada pukul 5.50 petang dan PHC di Zon Maritim Batu Pahat dibubarkan.

Aminuddin seterusnya mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh pihak yang terlibat dalam SAR berkenaan, dan menasihati orang ramai serta komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.

Bernama melaporkan dalam kejadian pukul 4.00 pagi kelmarin, kru bot ‘perdagangan barter’ itu, yang dikenali Sulaiman Ali, 20, bersama-sama dua lagi kru dan seorang tekong dalam pelayaran dari Selat Panjang, Indonesia ke Batu Pahat membawa muatan kayu bakau.

Advertisement

Bagaimanapun bot mereka dimasuki air akibat dipukul ribut, dan bagi menyelamatkan bot daripada karam, Sulaiman dan rakannya dilaporkan bertindak membuang muatan kayu bakau tersebut.

Namun, dia dipercayai terjatuh ke dalam laut semasa berbuat demikian sementara tiga lagi selamat.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top