BM | EN | 中文

KRONOLOGI KEHILANGAN DUA WARGA SINGAPURA KETIKA BERKAYAK DI MERSING

Kayak-dipercayai-milik-rakyat-Singapura-yang-hilang-di-perairan-Mersing-ditemui.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 OGOS: Berikut adalah kronologi kehilangan dua warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Mersing pada 8 Ogos lepas yang disediakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Menurut APMM dalam satu kenyataan di sini hari ini, operasi carilamat ditamatkan pada pukul 9 malam semalam selepas 10 hari SAR dijalankan.

8 Ogos – Seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya warga Singapura dilaporkan hilang selepas terpisah daripada kumpulan kayak terdiri daripada 15 orang (kesemuanya warga Singapura) pada kedudukan lebih kurang lima batu nautika Timur Pulau Aceh ketika berkayak menghala ke Pulau Mertang, dekat Mersing.

Advertisement

9 Ogos – Hari pertama carilamat (SAR) difokuskan kira-kira 10 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat. Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru juga Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Penyabong, Endau.

10 Ogos – Hari kedua SAR melibatkan pencarian menerusi udara yang diperluaskan kepada 400 batu nautika persegi utara Pulau Seri Buat, dekat Pahang, sehingga barat laut Pulau Tioman dengan kekuatan anggota seramai 41 orang melibatkan satu aset udara dan lima aset laut serta aset lain melibatkan aset orang awam. Pencarian hari kedua turut meliputi keluasan 150 batu nautika persegi dari Tanjung Resang, Mersing hingga Kuala Rompin, Pahang melibatkan sebuah aset udara dan tiga buah bot daripada Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

11 Ogos – Hari ketiga SAR melibatkan sektor pencarian melalui pesawat udara Maritim Malaysia diperluaskan kepada 500 batu nautika persegi utara Pulau Seri Buat sehingga barat Laut Pulau Tioman dengan kekuatan seramai 50 orang.

Advertisement

12 Ogos – Hari keempat SAR menyaksikan kawasan pencarian diperluas sehingga 900 batu nautika persegi menerusi pesawat udara meliputi perairan sebelah timur dan utara Pulau Tioman, 600 batu nautika persegi untuk permukaan laut meliputi timur Rompin sehingga utara Pulau Tioman dengan kekuatan anggota seramai 104 Orang.

13 Ogos – Hari kelima SAR melibatkan skop pencarian di permukaan laut menggunakan aset kapal dan bot daripada pelbagai agensi dipergiat lagi dengan menggunakan lima buah aset udara dilaksanakan disekitar pesisir pantai.

Keluasan kawasan pencarian adalah dikekal iaitu sehingga 1,205 batu nautika persegi menerusi pesawat udara meliputi perairan sebelah Utara Pulau Tioman, Nenasi, Pekan dan Kuantan dan 600 batu nautika persegi untuk aset di laut meliputi Timur Rompin sehingga Pekan, Pahang melibatkan kekuatan anggota seramai 122 orang.

Advertisement

Sebuah kayak yang dipercayai milik mangsa ditemui oleh nelayan tempatan di kedudukan lebih kurang 0.6 batu nautika Tenggara Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang pada jam kira-kira 12.30 tengah hari. Turut ditemui bersama-sama kayak adalah barang-barang peribadi dipercayai milik mangsa seperti dua beg duit berisi wang tunai Malaysia dan Singapura, sebuah telefon bimbit, satu pasport Singapura milik Tan Eng Soon, satu beg pakaian, satu kad pengenalan diri dan satu pendayung.

Jarak lokasi penemuan kayak dengan lokasi terakhir mangsa dilaporkan adalah sekitar 80 batu nautika.

14 Ogos – Penemuan satu mayat lengkap berpakaian memakai jaket keselamatan ditemui terapung di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu, oleh nelayan tempatan sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Advertisement

Mayat yang belum dikenal pasti identiti tersebut dibawa naik ke Jeti Zon Maritim Kemaman oleh pasukan carilamat dan diserahkan kepada unit forensik PDRM untuk tindakan lanjut. Jarak lokasi penemuan adalah sejauh 100 batu nautika dari lokasi terakhir dua warga Singapura dilaporkan hilang 8 Ogos lalu.

15 Ogos – Hari ketujuh SAR menyaksikan pencarian diteruskan dengan fokus kepada perairan Pahang dan Terengganu di mana pencarian di kawasan tersebut dikoordinasikan bersama antara Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan dan MRSC Johor Bahru menerusi Pangkalan Hadapan Carilamat yang ditubuhkan di Zon Maritim Kemaman.

16 hingga 18 Ogos – Hari ke 8 hingga ke 10 pencarian menyaksikan tiada sebarang petunjuk baru ditemui. SAR ditamatkan pada jam 9 malam, 18 Ogos (semalam).

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top