BM | EN | 中文

KPower peroleh 51 peratus kepentingan Chemtrax pada harga RM10 juta

Kumpulan-Powernet-Bhd.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kumpulan Powernet Bhd (KPower) memeterai perjanjian penjualan saham dengan Sabaka Group Sdn Bhd untuk memperoleh 2.19 juta saham atau 51 peratus kepentingan dalam subsidiari milik penuh Sabaka, Chemtrax Sdn Bhd dengan bayaran RM10 juta.

Pengarah Urusan KPower, Mustakim Mat Nun dalam satu kenyataan semalam berkata cadangan pengambilalihan itu adalah selaras dengan visi dan hasrat syarikat yang mahu meneroka segmen logistik sebaik sahaja kemunculan pemegang saham baharunya setahun sebelum ini.

“Melalui pengambilalihan ini, kami akan dapat memanfaatkan pengalaman, kepakaran termasuk rangkaian sedia ada Chemtrax dengan syarikat multinasional untuk mengembangkan lagi dan mendukung aktiviti KPower serta pemegang saham utamanya,” katanya.

Advertisement

Chemtrax yang berpangkalan di Pasir Gudang, Johor, pada dasarnya terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan kimia dan gas serta penghantaran. Ia mempunyai kemudahan logistik dengan depoh dan limbungan di Pasir Gudang serta Simpang Renggam di Johor dan Kuantan di Pahang.

Ditubuhkan pada 1998, Chemtrax mempunyai lebih daripada 22 tahun pengalaman pengendalian dan pengkhususan dalam pengangkutan bahan berbahaya termasuk bahan-bahan khusus yang digunakan dalam pembuatan sarung tangan nitril antara Malaysia dan Singapura.

Syarikat itu mempunyai 93 unit trak, tangki, penggerak utama, tong dan treler bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang kebanyakannya merupakan syarikat multinasional dengan keperluan serta piawaian keselamatan yang tinggi.

Advertisement

Chemtrax juga aktif terlibat dalam pengangkutan lateks sintetik dan getah nitril butadiena, yang merupakan bahan utama untuk membuat sarung tangan lateks dan KPower menjangkakan Chemtrax akan mendapat manfaat daripada lonjakan permintaan sarung tangan lateks di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19.

“Kami juga gembira kerana kami dapat menyumbang kepada pembendungan pandemik COVID-19 melalui pengambilalihan Chemtrax.

“Peningkatan permintaan terhadap sarung tangan nitril juga telah menyebabkan lonjakan permintaan membabitkan perkhidmatan khusus Chemtrax. Kami memberikan komitmen penuh melalui pengembangan fasiliti ini bagi memenuhi keperluan pengeluar sarung tangan.

Advertisement

“Secara anggaran, kami memerlukan tambahan 15 unit kenderaan khusus ini,” kata Mustakim.

Pendapatan yang telah diaudit sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) Chemtrax pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 berjumlah RM5.80 juta.

Sabaka memberikan jaminan bahawa agregat Ebitda dari Chemtrax dalam tahun kewangan berakhir 2020 dan tahun kewangan berakhir 2021, berdasarkan kepada jangkaan perniagaan, tidak akan kurang daripada RM10.0 juta atau RM5.0 juta bagi setiap tahun kewangan.

Advertisement

Berdasarkan kepada 51 peratus kepentingan ekuiti yang akan diperoleh KPower, sumbangannya kepada KPower mampu mencecah RM2.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 2020 dan tahun kewangan berakhir 2021, berdasarkan jaminan Ebitda.

“Dengan jaminan Ebitda seperti yang diperuntukkan di bawah terma pengambilalihan yang dicadangkan, kami menjangkakan pengambilalihan ini akan segera membuahkan hasil serta menyediakan kemampanan jangka panjang kepada perolehan dan keuntungan syarikat,” tambah Mustakim.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top