JOHOR BAHRU, 11 OKT: Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ) menyahut cabaran untuk membantu kerajaan negeri Johor membekalkan makanan ke luar negara khususnya Singapura.
Pengerusinya, Ahmad Daud berkata pihaknya kini sedang mengorak langkah untuk menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) pada tahun depan dalam sektor penternakan lembu daging.
Katanya setakat ini, KPMNJ mempunyai 120 ekor lembu yang diternak di sebuah ladang di Kahang dekat Kluang.
“Kita (KPMNJ) telah disarankan oleh kerajaan negeri Johor untuk bergabung dengan institusi yang telah berjaya seperti PPNJ. Dengan cara ini, koperasi boleh menambah bekalan makanan di Johor untuk dibekalkan ke wilayah selatan khususnya di Singapura.
“Selepas ini, kita mungkin bukan sahaja bekerjasama dengan PPNJ, tetapi juga dengan pengusaha ayam terbesar di Kedah.
“Ini juga saranan daripada kerajaan negeri supaya koperasi dapat meluaskan sektor perniagaan terutamanya dalam bidang baharu seperti penternakan yang boleh memberi hasil lebih baik,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan KPMNJ kali ke-25 di sini semalam.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad berkata Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat mereka untuk menjadikan Johor sebagai hab pembekal makanan utama mereka pada masa depan.
Sehubungan itu, katanya pihaknya telah memulakan langkah perbincangan berhubung perkara tersebut dengan kedua-dua negara itu.
Johorkini