KULAI, 9 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan revolusi sifar keciciran melibatkan transisi murid sekolah rendah ke sekolah menengah pada tahun ini.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, usaha berkenaan bagi memastikan tiada lagi murid darjah enam tercicir untuk memasuki tingkatan satu.
“Dari segi kadar keciciran, pada 2018 peratus transisi murid darjah enam ke tingkatan satu sebanyak 96.8 peratus, manakala pada tahun lalu sebanyak 98.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menyempurnakan Program Ziarah Cakna 2020 Peringkat Kebangsaan di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Program Ziarah Cakna 2020 bermatlamat memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid.
“Pastinya program ini merapatkan lagi silaturahim ibu bapa, guru dan masyarakat untuk mewujudkan budaya yang positif bagi kemenjadian murid-murid.
“Dengan penglibatan jabatan dan agensi kerajaan seperti Pusat Zakat Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan bukan kerajaan, masalah murid yang kurang bernasib baik dapat dibantu untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya.
Tambah beliau lagi, tahun ini merupakan tahun kedua pelaksanaan program berkenaan yang melibatkan kerjasama holistik daripada Pejabat Pendidikan Daerah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi berkaitan.
“Tahap penilaian program ini diukur melalui penurunan keciciran murid dan peningkatan tahap kemenjadian pelajar.
“Statistik Program Ziarah Cakna bagi 2019 menunjukkan seramai 40,158 dan 26,428 murid sekolah menengah telah diziarahi oleh 63,313 guru sekolah rendah dan 39,715 guru sekolah menengah.
“Jika dijumlahkan seramai 66,568 murid, 59,739 keluarga dan 10,2488 guru yang terlibat,” katanya lagi.
Johorkini