JOHOR BAHRU, 16 SEPT: Bagi menghargai jasa dan sumbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Pakar KPJ Dato’ Onn mengambil inisiatif mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma buat pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan semalam itu membabitkan seramai 156 pegawai dan anggota.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Noor Haslina Harun berkata, pemeriksaan itu merangkumi Indeks Jisim Tubuh (BMI), glukosa, tekanan darah serta konsultasi kesihatan.
“Pasukan keselamatan seperti polis telah banyak berkorban kepada negara ini.
“Jadi ini satu cara kami meraikan mereka sejajar dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’.
“Selain itu, ia juga merupakan sebahagian program tanggungjawab korporat kami dalam membantu masyarakat mengesan dan mencegah penyakit di peringkat awal kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Program Pemeriksaan Kesihatan Untuk Pegawai Dan Anggota Polis IPK Johor itu diadakan di lobi ibu pejabat polis Johor bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.
Dalam program tersebut, Noor Haslina turut menyampaikan baucar pemeriksaan kesihatan kepada Pegawai Kebajikan Kontinjen, Asisten Superintenden Nurul Akmar Hassan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan.
Johorkini