BM | EN | 中文

KPDNHEP rampas lebih 5,000 pakaian berjenama tiruan bernilai RM61,000 di Muar

KPDNHEP-rampas-lebih-5000-pakaian-berjenama-tiruan-bernilai-RM61000-Muar.jpeg
Advertisement

MUAR, 15 DIS: Sebanyak 5,085 helai pakaian berjenama tiruan bernilai RM61,000 dirampas pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor di sebuah premis perniagaan di Tangkak, dekat sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Muar, Rizq Fazliana Abd Hamid, berkata pakaian tiruan berjenama, antaranya, Louis Vuitton, Chanel, Adidas dan Nike dijual melalui laman sosial Facebook dengan harga antara RM10 hingga RM15 sepasang.

Dalam serbuan jam 2 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan isterinya warga Vietnam berumur 30-an ditahan untuk membantu siasatan.

Advertisement

“Pasangan itu menjalankan perniagaan itu sejak Mac lalu dan premis berkenaan turut dijadikan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran pakaian berjenama itu bagi golongan dewasa dan kanak-kanak,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik premis berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki bagi maksud perdagangan barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top