BM | EN | 中文

KPDNHEP keluarkan notis susulan kenaikan harga ayam

ayam-mentah.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 18 APR: Pihak berkuasa di beberapa negeri kini mula mengambil tindakan tegas susulan kenaikan mendadak harga ayam di pasaran, yang mula dikesan sejak awal bulan Ramadan.

Malah, terdapat juga badan bukan kerajaan yang menggesa pihak berkuasa, agar segera campur tangan kerana kenaikan harga ayam itu membebankan pelbagai pihak.

Di Johor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, mengeluarkan 26 notis terhadap 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di sekitar pasar awam di bandar raya Johor Bahru, hasil pemeriksaan ekoran terdapat aduan berlaku kenaikan harga ayam.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full berkata, notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, menerusi pemeriksaan sejak hari pertama Ramadan.

Sementara itu Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar ketika dihubungi berkata, setakat ini dua notis dikeluarkan ke atas peniaga dan pengeluar ayam di negeri berkenaan.

“Mereka diberi masa tiga dan lima hari untuk kemukakan dokumen. Sekiranya ada elemen pencatutan, mereka akan dikompaun di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Advertisement

“Bagi pengguna, jangan bimbang kerana pemantauan dibuat setiap hari, dan sekiranya ada aduan segera berhubung dengan kami,” katanya.

Tinjauan di Pasar Besar Melaka mendapati rata-rata ayam dijual pada harga sekitar RM9.50 sekilogram, menyebabkan pengguna mengeluh dengan harga tersebut yang dianggap terlalu mahal.

Seorang peniaga Hamzah Othman, 57, berkata, tidak pernah dalam sejarah 30 tahun berniaga ayam beliau terpaksa menjual dengan harga semahal itu, namun tiada pilihan apabila pembekal sendiri menetapkan harga yang sudah tinggi.

Advertisement

“Ada pembekal kata harga naik sebab penternak terpaksa menanggung harga dedak import yang naik sehingga 40 peratus. Perkara ini bukan sahaja berlaku di sini tapi semua tempat,” katanya.

Sementara itu di Pulai Pinang, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), menggesa pihak berkuasa untuk segera campur tangan bagi menyelesaikan isu harga ayam yang melonjak, sejak mula bulan Ramadan.

Pegawai Pendidikan CAP N. V. Subbarow berkata, kenaikan harga itu membebankan semua pihak dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengedar ayam terlibat.

Advertisement

“Sebelum ini ayam dijual pada harga RM7.50 sekilogram, tetapi sekarang dijual pada harga RM9 hingga RM10 sekilogram, dengan alasan bahawa kenaikan harga makanan ternakan ayam dan perbelanjaan lain,” katanya dalam kenyataan.

Di Perak KPDNHEP negeri mengeluarkan sebanyak 50 notis ke atas peniaga ayam, 23 notis kepada peniaga daging dan 36 notis kepada peniaga sayur-sayuran sejak Khamis lepas sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata kesemua peniaga tersebut disiasat dan sekiranya berlaku pencatutan, tindakan tegas di bawah perundangan akan diambil.

Advertisement

Abdul Yunus dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian mengenai isu kenaikan harga barang keperluan seperti ayam ketika bulan Ramadan ini.

Katanya, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam serta barang keperluan lain di pasaran supaya pengguna dapat memperolehinya pada harga berpatutan.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top