BM | EN | 中文

KPDNHEP Johor tumpaskan kegiatan pindah minyak masak bersubsidi di Pasir Gudang

KPDNHEP-Johor-tumpaskan-kegiatan-pindah-minyak-masak-bersubsidi-di-Pasir-Gudang.jpg

Gambar Ehsan KPDNHEP Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 27 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor semalam menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak dengan cara memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Hairul Anuar Bohro berkata hasil serbuan yang dijalankan pada pukul 9 pagi itu mendapati sebanyak 24,819 kg minyak masak bersubsidi sudah dipindahkan ke dalam tangki.

“Sejumlah 53,974 kg minyak masak yang ditemui di tempat kejadian telah disita dan daripada angka itu sebanyak 24,819 kg minyak masak sudah dipindahkan ke dalam tangki manakala selebihnya iaitu sebanyak 29,155 pek plastik ‘polybag’ masih dalam keadaan paket,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Advertisement

Kilang berkenaan dipercayai memperoleh bekalan minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram daripada beberapa kilang pembungkus minyak masak di sekitar Kuantan dan Lembah Klang sebelum dibawa ke Pasir Gudang.

Beliau berkata selain itu, dua lori treler, dua forklift, sebuah motosikal, beberapa peralatan termasuk mesin pengisar, pam pemampat, tangki lori, hos getah turut disita dan jumlah keseluruhan nilai rampasan kira-kira RM359,135.

Katanya susulan itu tiga lelaki tempatan berumur 30 hingga 40 tahun yang merupakan pemandu lori dan pekerja yang disyaki memindahkan bekalan minyak masak dari lori ke dalam kilang terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Advertisement

“Kilang itu tidak memiliki kebenaran menyimpan atau berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, malah terdapat beberapa jenama minyak masak yang disimpan secara tidak sah,” katanya sambil menambah siasatan juga akan dijalankan ke atas pemilik kilang dan pembekal minyak masak terbabit.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613).

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top