JOHOR BAHRU, 13 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sedang meneliti asas tindakan terhadap seorang peniaga pakaian seragam sekolah di Taman Johor Jaya, di sini, yang dikompaun kerana gagal memakai pelitup muka, Ahad lalu.
KPDNHEP Johor dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya sudah memperoleh laporan pengkompaunan terbabit.
“KPDNHEP Johor mengambil maklum mengenai isu dua kompaun yang dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa (KPDNHEP) negeri terhadap peniaga yang gagal memakai pelitup muka walaupun didakwa tiada pelanggan berada di dalam premis pada Ahad lalu.
“Sekiranya didapati terdapat asas kompaun tidak sepatutnya dikenakan, KPDNHEP Johor akan merujuk perkara ini kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan syor supaya kompaun terbabit dipertimbangkan semula,” menurut kenyataan itu.
KPDNHEP Johor juga akan menghubungi peniaga berkenaan untuk perkembangan selanjutnya berhubung isu terbabit.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan peniaga berusia 52 tahun dan isterinya berusia 48 tahun pelik kerana dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang oleh KPDNHEP Johor, Ahad lalu kerana tidak memakai pelitup muka walaupun tiada pelanggan di premis miliknya ketika pemeriksaan dilakukan pihak penguat kuasa itu.
Bernama