BM | EN | 中文

KPDNHEP Johor lupus barang rampasan bernilai RM4 juta

kpdnhep-johor.jpg

JOHOR BAHRU, 13 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melupuskan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM4 juta hasil rampasan melibatkan 155 kes sejak 2018 hingga tahun lalu.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kesemua barangan rampasan itu melibatkan tindakan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, Akta Jualan Langsung 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Ia melibatkan 96,700 unit barangan tiruan antaranya pakaian, beg tangan, kasut dan minyak wangi manakala barangan melibatkan hak cipta seperti perisian komputer, cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD).

“Majlis pelupusan ekshibit mega yang diadakan di Kompleks Penyimpanan Seksyen Penguat Kuasa KPDNHEP Johor di Senai ini merupakan aktiviti pelupusan terbesar diadakan bagi tahun ini dan ia dilupuskan selepas mendapat arahan oleh pengawal dan mahkamah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang perniagaan yang ditetapkan kementerian dan tidak melanggar undang-undang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan tidak membeli barang tiruan kerana produknya tidak berkualiti selain sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top