BM | EN | 中文

KPDNHEP Johor kesan 28 kes gagal patuhi Akta Kawalan Harga sejak 9 Nov

LOGO-KPDN.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 16 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan kompaun sejumlah RM3,350 berhubung 28 kes gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, hasil pemeriksaan terhadap 1,413 peruncit dan pemborong di negeri ini, sejak 9 Nov lepas hingga hari ini.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata kesemua pemeriksaan terhadap 1,342 peruncit dan 71 pemborong itu dilakukan menerusi penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali, yang berkuat kuasa mulai 9 Nov lepas sehingga esok.

“Daripada 28 kes, sejumlah 25 daripadanya adalah kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

Advertisement

“Sejumlah tiga kes lagi melibatkan kesalahan gagal mematuhi Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Hairul Anuar berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan melibatkan tidak memaparkan tanda harga dan menjual melebihi harga ditetapkan.

Menurutnya, sepanjang tempoh penguatkuasaan SHMMP Deepavali itu juga, pihaknya menerima lima aduan berkaitan penjualan barang kawalan melebihi harga dikawal.

Advertisement

Hasil siasatan, KPDNHEP Johor sudah mengeluarkan kompaun ke atas sebuah premis terlibat manakala empat aduan lagi ditutup kerana para peniaga didapati masih lagi mematuhi undang-undang, katanya.

Sementara itu, Mohd Hairul Anuar menerusi kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya melakukan pemeriksaan di Pasar Raya Maslee, di Taman Molek, di sini hari ini, yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Chong Fat Full.

Beliau berkata tujuan lawatan terbabit adalah bagi memastikan peniaga barangan harian dan keperluan mematuhi SHMMP ditetapkan kerajaan selain memastikan bekalan keperluan di negeri ini mencukupi kepada para pengguna.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top