JOHOR BAHRU, 30 JUL: Seorang Adun dari Johor mempersoalkan peningkatan kos sebanyak RM540 juta bagi pembinaan Sistem Rapid Transit (RTS) yang diumumkan kerajaan hari ini.
Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tsee memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong bahawa jumlah kos projek tersebut dianggarkan berjumlah RM3.7 bilion di pihak Malaysia.
“Ini sangat berbeza dengan angka bernilai RM 3.16 bilion yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pada 31 Oktober 2019.
“Saya harap menteri dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai peningkatan RM540 juta, setara 17 peratus dari jumlah kos dalam masa hanya sembilan bulan.
“Orang ramai berhak mendapat jawapan mengenai peningkatan kos mendadak ini,” kata Jimmy dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini Wee berkata, kos keseluruhan pembinaan projek RTS) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di sini dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion.
Katanya, daripada keseluruhan jumlah, 61 peratus daripadanya dibiayai kerajaan Singapura manakala 39 peratus lagi ditanggung kerajaan Malaysia.
Kata Wee, berdasarkan perjanjian Singapura-Malaysia, nisbah (kos) ialah 61:39, lebih kurang jumlahnya ialah RM10 bilion. Singapura akan membiayai 60 hingga 61 peratus manakala pihak kita pula ialah 39 peratus dengan kos RM3.716 bilion.
Katanya, kos RM10 bilion itu ialah untuk jarak sepanjang empat kilometer dengan jarak Malaysia ialah kira-kira 2.7 km dan 1.3 km untuk Singapura.
Justeru itu Jimmy berkata, kenaikan kos projek ini tidak sepatutnya dibebankan kepada pengguna akhir dan kadar tambang RTS harus berpatutan dan mampu dibayar oleh rakyat.
Johorkini