BM | EN | 中文

Koronavirus-Kerajaan negeri nasihat penganjur perarakan Chingay 2020

koronavirus.jpg

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Kerajaan negeri tidak menyokong dan menasihatkan penganjur untuk membatalkan perarakan Chingay 2020 yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

Pejabat Menteri Besar Johor dalam kenyataannya hari ini memberitahu, keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor selain ketidakupayaan untuk membuat saringan kesihatan kepada semua pengunjung pada skala besar.

Katanya, malah pihak keselamatan dan penganjur juga tidak dapat mengenal pasti jumlah sebenar kehadiran pengunjung yang dijangka akan menyertai perarakan itu.

“Kerajaan negeri berpendapat keputusan ini dibuat sebagai antara langkah-langkah pencegahan berikutan dikhuatiri berlaku penularan wabak dalam skala besar sekiranya perarakan diteruskan.

“Kerajaan negeri serius dalam usaha mengekang penularan wabak ini, namun usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, upacara keagamaan bersempena Chingay pada esok dan Jumaat ini masih boleh diteruskan.

“Tetapi, pihak penganjur perlu menyediakan senarai nama beserta alamat lengkap setiap peserta untuk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor sebagai langkah berjaga-jaga.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menasihatkan mana-mana pihak atau individu yang tidak terlibat secara langsung dalam upacara Chingay untuk tidak hadir ke upacara tersebut demi keselamatan kesihatan masing-masing,” katanya.

Justeru, kerajaan negeri berharap rakyat sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
• Kerap mencuci tangan
• Elakkan dari mengambil (makan atau minum) sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna
• Menutup mulut dan hidung ketika bersin dan batuk
• Elakkan sentuhan terus dengan haiwan liar, daging dan kendang
• Elakkan sentuhan dengan individu yang mempunyai gejala.

Terdahulu, sehingga jam 7.30 pagi 12 Februari 2020, sebanyak 44,787 kes penyakit koronavirus (COVID-19) telah dilaporkan melibatkan 25 buah negara dengan jumlah angka kematian keseluruhan adalah 1,112 orang.

Daripada jumlah tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan status terkini bagi kes penyakit COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 18 kes, setelah dua kes terbaharu direkodkan pada 9 dan 10 Februari lepas.

Berhubung dengan penularan wabak ini juga, pada 7 Februari 2020 Singapura telah mengisytiharkan Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) Singapura dinaikkan dari tahap kuning ke jingga bagi membendung penularan koronavirus.

Malaysia dan Singapura juga telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan untuk memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani secara berkesan.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top