BM | EN | 中文

KOPERASI DARI JOHOR TERIMA MANFAAT

Sheikh-Umar-Bagharib-Ali.jpg

SEGAMAT, 20 OKT: Sebanyak 16 buah koperasi dari seluruh negeri ini melalui pelbagai jenis aktiviti perniagaan telah mendapat manfaat daripada geran padanan pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berharap agar koperasi-koperasi tersebut terus berkembang demi menyumbang kepada kemajuan sosio ekonomi anggota secara khususnya dan negeri Johor secara umum.

“Kerajaan negeri sangat komited untuk memberi inisiatif dalam menangani isu berkaitan peningkatan kos sara hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah B40 di negeri ini,” katanya.

Dr Sahruddin berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sheikh Umar mewakili Menteri Besar Johor merasmikan Segamat Fest 2019 – Mengarusperdana Gerakan Koperasi yang diadakan di Bandar Utama Segamat, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah menyediakan pelbagai prasarana yang kondusif kepada sektor koperasi bagi meningkatkan kebolehupayaan dan kapasiti koperasi.

“Ini termasuklah penyediaan latihan, bengkel serta seminar dan lain-lain sebagai satu medan untuk penggiat koperasi meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang ekonomi,” katanya.

Tambahnya lagi, sektor koperasi telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai sektor ketiga terpenting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara selepas sektor swasta dan kerajaan.

“Sebagai salah satu sektor yang terpenting dalam memacu ekonomi negara, gerakan koperasi pada hari ini juga perlulah melakukan anjakan yang hebat.

“Ini bagi memastikan gerakan ini terus kekal relevan dalam arus permodenan semasa dan sama-sama akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top