KOTA TINGGI, 17 JAN: Kegiatan ekonomi melalui koperasi memberi manfaat terutamanya kepada penduduk di luar bandar.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Sains dan Teknologi Johor, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali berkata, antara koperasi yang berjaya membangunkan ekonomi setempat di Johor adalah Koperasi Pembangunan Kampung Tersusun Mawai Baru Berhad (KOPEMA Bhd) yang terletak di daerah Kota Tinggi.
“Bagi saya, uniknya KOPEMA Bhd adalah kerana koperasi ini benar-benar menjadikan ahlinya yang juga masyarakat lokal Kg Tersusun Mawai Baru sebagai penerima manfaat atas aktiviti perniagaan yang pihak koperasi jalankan.
“Bahkan, penduduk Kg Tersusun Mawai Baru ini majoritinya adalah mereka yang terdiri dari golongan berpendapatan sederhana di kawasan luar bandar.
“Hal ini dapat meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat setempat,” katanya selepas lawatan kerjanya ke tapak projek ternakan ayam pedaging milik koperasi itu.
KOPEMA Bhd merupakan sebuah koperasi berdaftar di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 16 Jun 1986 sebelum didaftarkan semula di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 22 Disember 2008.
Ia mempunyai 466 anggota dengan pegangan saham sebanyak RM1,300/unit yang terdiri daripada 12 orang Ahli Lembaga Koperasi.
Antara aktiviti perniagaan KOPEMA ialah pengurusan ladang kelapa sawit, pemasaran Buah Tandan Segar (BTS) selain memiliki lesen kontraktor, pengangkutan, kedai runcit, pengeluaran baja organik dan tanaman cendawan tiram.
Pada 2014, KOPEMA Bhd mengembangkan aktiviti perniagaannya dengan menceburi aktiviti penternakan ayam pedaging.
Sehingga akhir 2019, terdapat enam reban yang beroperasi dengan purata pengeluaran sebanyak 107,500 ekor ayam pedaging setahun.
Sheikh Umar yang juga Adun Paloh berkata, kerajaan Johor pada Oktober 2019 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM277,682 di bawah inisiatif ‘Koperasi Komuniti Johor’ untuk membantu KOPEMA mengembangkan aktiviti penternakan ayam pedaging.
“Saya difahamkan KOPEMA Bhd mensasarkan pengeluaran sebanyak 275,000 ekor ayam pedaging menjelang tahun 2024 dengan penambahan sebanyak empat lagi reban menjadikan ia keseluruhannya sepuluh reban,” katanya.
Justeru itu, katanya selepas beroperasi selama 34 tahun, KOPEMA Bhd berjaya menerjemahkan bagaimana sesebuah koperasi dapat berperanan membina kerangka ekonomi di kalangan ahli dan komuniti setempat.
“Bahkan ia amat selaras dengan semangat kerajaan baru, kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini yang ingin sektor ekonomi diberi tumpuan khusus bagi membangunkan golongan B40,” katanya lagi.
Johorkini