JOHOR BAHRU, 16 FEB: Isu monopoli syarikat konsesi penyelenggaraan dan baikpulih jalan di Johor semakin hangat apabila kontraktor muda di negeri pula bersuara menyatakan pandangan mereka.

Awang
Menurut seorang kontraktor muda kelas G1 dikenali sebagai Awang, 33, berkata tindakan memilih konsesi sebagai pengurus projek di Johor dilihat langkah zalim.
Katanya, sistem pemberian pengurusan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan kepada syarikat konsesi dilihat ‘membunuh’ kontraktor muda.
“Sistem ini perlu dihapuskan bagi memberi peluang kepada kontraktor kecil dan muda seperti kami untuk mencari peluang kerja.
“Apa yang berlaku hari ini peranan konsesi dilihat lebih diutamakan dalam mengurus kerja-kerja selenggara dan jalanraya yang ada.
“Kami mahu kerajaan menghapuskan sistem tersebut. Sekiranya diteruskan kami semua (kontraktor muda) akan ‘mati’,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi kontraktor muda, dikenali sebagai Zaini, 22, mahu membawa perkara itu dibawa kepada pihak berkuasa termasuk, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita akan bawa perkara ini ke peringkat laporan polis dan SPRM kerana keadaan ini diragui mengandungi unsur-unsur rasuah.
“Kita juga mempersoalkan bagaimana pemilihan konsesi ini dibuat. Adakah cara tender terbuka, prestasi kerja kontraktor atau secara ‘direct nego’ atau rundingan terus?
“Kita telah susun beberapa langkah untuk membawa perkara tersebut ke peringkat seterusnya. Ini adalah kehendak kebanyakan kontraktor di negeri ini,” katanya lagi.
Johorkini