BM | EN | 中文

Kontraktor jajaran lebuh raya Senai-Desaru diberi notis batal kontrak

Lebuhraya-Senai-Desaru-Solihan-Badri.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 22 MAC: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan notis pembatalan kontrak kepada kontraktor yang menjalankan pembinaan projek jajaran laluan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) ke Bandar Penawar bernilai RM79 juta hari ini, kerana lewat memasuki tapak.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, JKR sudah mengeluarkan notis pembatalan kontrak kepada kontraktor terbabit yang sepatutnya memasuki tapak projek itu awal tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kontraktor tersebut diberi tempoh masa selama dua minggu untuk membalas notis berkenaan dan sekiranya jawapan yang diberikan tidak meyakinkan selain tiada alasan kukuh, kerajaan negeri akan membatalkan kontrak mereka

Advertisement

“Hal ini kerana, kita dapati kontraktor ini bukan sahaja belum ambil tapak, malah polisi insurans juga baru mula dibeli dua hari lepas.

“Selain itu, bon pelaksanaan, surat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), carta organisasi tapak dan program kerja tidak dibuat selepas tarikh milik tapak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan kontraktor berkenaan akan mengakibatkan projek yang mengambil masa selama empat tahun itu tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan selain akan menggagalkan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan.

Advertisement

“Ini satu contoh tidak menepati etika kontraktor yang bagus ekoran daripada ini, ia akan mengakibatkan projek tertangguh,” katanya.

Menurutnya, selain jajaran daripada laluan Lebuhraya SDE ke Bandar Penawar sepanjang 1,546 meter itu, projek berkenaan turut melibatkan pembesaran laluan Bandar Penawar ke Kota Tinggi.

Mohd Solihan berkata projek itu penting antaranya bagi mengatasi kesesakan di lebuh raya berkenaan terutama ketika sambutan perayaan.

Advertisement

“Kontraktor perlu tahu bahawa masuk tapak itu memang wajib, kerja kena tepat masa, jadi duit rakyat tidak membazir dan tidak mengganggu kerja pegawai-pegawai terlibat,” tambahnya lagi

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top