BM | EN | 中文

KONTRAK KERAJAAN: LIMA KRITERIA DAN SYARAT UTAMA KAEDAH RUNDING TERUS

MB.jpg

ISKANDAR PUTERI, 12 SEPT: Pemerkasaan sistem perolehan kerajaan secara tender terbuka diyakini lebih adil kepada semua pihak terutamanya kontraktor Bumiputera.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ini kerana kerajaan mahu memastikan pihak yang memperoleh tender mempunyai kelayakan dan mampu menyiapkan projek serta mengelak berlakunya ketirisan.

Namun bagi kes tertentu, hanya syarikat yang memenuhi kriteria ditetapkan Pekeliling Perbendaharaan dibenarkan melalui kaedah runding terus dengan syarat mematuhi Garis Panduan Perolehan Secara Rundingan Terus.

“Terdapat lima kriteria dan syarat utama bagi membolehkan kaedah rundingan terus dilakukan.

“Pertama, perolehan berkenaan yang mendesak dan perlu disegerakan. Sekiranya perolehan tersebut tidak dibuat dengan segera, maka ia akan memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan dan kepentingan awam.

“Kedua, bagi memastikan kesesuaian penggunaan antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang akan dibeli, maka permohonan untuk membeli barangan yang sama secara rundingan terus boleh dipertimbangkan,” katanya.

Ketiga katanya, terdapat beberapa kes perolehan yang hanya mempunyai satu punca atau bekalan perkhidmatan.

“Ini bermaksud, pembelian khusus yang mana hanya terdapat satu syarikat sahaja yang dapat membekalkan barangan atau perkhidmatan yang dikehendaki seperti alat ganti dan lain-lain,” katanya.

Kriteria keempat kata Sahruddin, perolehan melibatkan alatan keselamatan atau projek tertentu yang strategik dan perlu dirahsiakan.

“Kelima, dalam usaha memupuk pertumbuhan syarikat Bumiputera yang bertaraf pembuat, kerajaan negeri telah mengadakan tender khusus yang dibuka kepada pembuat berkenaan sahaja,” katanya lagi.

Sahruddin (PH-Bukit Kepong) berkata demikian menjawab soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) berhubung pendekatan diambil kerajaan bagi mengurangkan risiko ketirisan melalui penawaran kontrak atau kerja secara terus semasa persidangan DUN ke-14 di Kota Iskandar, di sini.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top