BM | EN | 中文

Kontinjen Malaysia perlu patuh peraturan, termasuk ujian saringan harian

Sukan-Olimpik-Jepun-2020.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 30 APR: Kontinjen Malaysia yang menggalas cabaran ke Temasya Tokyo 2020 perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak penganjur termasuk keperluan untuk atlet menjalani ujian saringan Covid-19 harian semasa berada di Tokyo.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Ahmad Shapawi Ismail berkata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo (Tokyo 2020), Kerajaan Metropolitan Tokyo serta kerajaan Jepun mengeluarkan beberapa langkah tambahan bagi temasya itu dalam ‘playbook’ terkini.

Antaranya peraturannya adalah peserta perlu menjalani dua ujian Covid-19 sebelum penerbangan ke Jepun serta ujian harian bagi atlet serta orang yang berdekatan dengan kontinjen.

Advertisement

“Ini bagi memastikan keselamatan atlet serta keselamatan penduduk di Jepun, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kontinjen negara mematuhi peraturan ditetapkan penganjur. Tiada fleksibiliti. Kita kena pastikan kejohanan ini dapat dilangsungkan tanpa ada satu jangkitan,” katanya kepada pemberita di Seremban.

Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, yang disempurnakan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Ahmad Shapawi berkata MSN akan mengadakan taklimat terperinci kepada semua atlet dan pegawai terlibat berkenaan perkara tersebut selepas pihak penganjur memuktamadkan semua peraturan bagi temasya tersebut.

Advertisement

Mengenai perkembangan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang digantung sementara daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Ahmad Shapawi berkata ia tidak melibatkan penyertaan pasukan ke Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Saya difahamkan tindakan pergantungan PSM daripada keanggotaan mereka dalam ASTAF itu, tidak bermaksud pasukan sepak takraw kebangsaan digantung bagi mengambil bahagian dalam Sukan Asia dan Sukan SEA,” katanya.

Jelasnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempunyai hak membenarkan pasukan sepak takraw negara menyertai kontinjen ke Sukan SEA dan Sukan Asia dan MSN tidak mengambil tindakan terhadap pemain serta latihan persediaan pasukan bagi dua temasya tersebut berjalan seperti biasa.

Advertisement

Namun, katanya pergantungan itu akan menyebabkan pasukan sepak takraw negara akan berdepan masalah untuk menyertai kejohanan anjuran ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Media melaporkan PSM turut berdepan kemungkinan disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan badan induk Asia itu selepas didakwa melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan ISTAF dan ASTAF seperti yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top