BM | EN | 中文

Kolej Universiti Islam Melaka jalin kerjasama pintar dengan tujuh agensi

KUIM-jalin-kerjasama-pintar-dengan-tujuh-agensi-di-Melaka.jpg

Gambar Ehsan FB Sulaiman Md Ali

Advertisement

MELAKA, 26 DIS: Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tujuh agensi di Melaka, bagi menjalin kerjasama pintar dengan pihak industri, bagi melahirkan modal insan berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran.

KUIM dalam satu kenyataan semalam menyatakan, tujuh agensi berkenaan ialah Melaka Hari Ini, Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia, Mini Malaysia dan Asean Cultural Park, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka, Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam, Buletin Dunia Melayu Dunia Islam dan Ames Hotel.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman itu yang berlangsung semalam disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Noor Effendi Ahmad, manakala KUIM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Madya Dr Afizan Azman.

Advertisement

“Kolaborasi kerjasama pintar itu bertujuan membuka ruang dan peluang KUIM mengembangkan kepakaran dan perkongsian ilmu, serta menjana penyelidikan untuk membantu kerajaan negeri dalam pembangunan insan serta ekonomi di zaman teknologi digital,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, memorandum persefahaman dengan Melaka Hari Ini melibatkan aspek penyelidikan dan inovasi, pembangunan modul, latihan dan khidmat kepakaran (kursus jangka pendek), tanggungjawab sosial korporat, latihan industri, program sangkut industri dan penerbitan artikel penulisan.

Kerjasama dengan Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Malaysia pula antaranya merangkumi aspek pendidikan, penawaran kursus pendek, kursus eksekutif dan kemahiran, penganjuran bersama dan penyeliaan program pengajian peringkat pasca dan siswazah, bidang halal, ekonomi, keusahawanan, kebajikan, kemanusiaan dan juga alam sekitar.

Advertisement

Mini Malaysia dan Asean Cultural Park pula berkait kerjasama penyelidikan dan inovasi, perundingan pelbagai bidang berkaitan latihan dan khidmat kepakaran (kursus jangka pendek), tanggungjawab sosial korporat, latihan industri, program sangkut industri dan kerjasama pemasaran serta kewangan.

Kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka pula melibatkan program sangkut industri dan penerbitan artikel penulisan, manakala kerjasama Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam termasuklah perkongsian maklumat, buku rujukan, sumber, pangkalan data dan sebagainya.

Kerjasama dengan Buletin Dunia Melayu Dunia Islam pula meliputi aspek penyelidikan dan inovasi, tanggungjawab sosial korporat, latihan industri, program sangkut industri dan kerjasama pemasaran serta kewangan.

Advertisement

Selain itu, kerjasama dengan Ames Hotel antaranya memberi peluang kepada pekerja hotel berkenaan melanjutkan pengajian ke KUIM, berdasarkan syarat kemasukan yang ditetapkan dan program yang bersesuaian.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top