BM | EN | 中文

Knight Frank Malaysia: Pasaran hartanah dijangka kekal mencabar pada separuh pertama 2021

knight-frank.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jangkaan pengedaran secara komersial vaksin COVID-19 pada separuh pertama 2021 akan meningkatkan harapan pemulihan ekonomi negara dan merangsang keseluruhan sentimen pengguna, kata perunding hartanah Knight Frank Malaysia.

Pengarah Urusannya Sarkunan Subramaniam bagaimanapun berkata, ekoran keadaan politik yang tidak menentu sekarang di tengah-tengah krisis pandemikCOVID-19 yang semakin memburuk, pasaran kediaman dijangka kekal mencabar pada separuh pertama 2021.

“Ini menyebabkan pembeli hartanah serta pemaju memikirkan semula pelan dan strategi mereka bagi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan pelancaran laporan penyelidikan Sorotan Hartanah Separuh Kedua 2020, hari ini.

Advertisement

Menurut laporan itu, bagi segmen runcit dan hospitaliti, aktiviti transaksi masih lemah memandangkan keyakinan dan sentimen pelabur terus terjejas disebabkan oleh pandemik tersebut.

Timbalan Pengarah Urusannya yang baru dilantik Keith Ooi berkata: “Dengan COVID-19 masih kekal menjadi kebimbangan utama, kadar penghunian dan sewa dijangka menyusut sederhana pada tahun depan.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan nilai aset runcit gred utama kekal stabil meskipun penurunan sewa, memandangkan profil penyewa dan pajakan yang lebih kukuh, dan hakikat bahawa hasil akan ditampan oleh persekitaran kadar faedah rendah sekarang.”

Advertisement

Pengarah Eksekutif Pasaran Modalnya, James Buckley optimis bahawa sebaik sahaja vaksin dibekalkan di seluruh dunia dan sempadan dibuka semula, pelancong antarabangsa akan mula kembali pada separuh kedua tahun 2021, tetapi kemungkinan besar akan mengambil sedikit masa untuk pulih semula ke paras seperti sebelum pandemik.

“Pelabur bijak yang yakin dengan analisis mereka dan faham kitaran pasaran akan melihat tempoh ini sebagai peluang untuk membeli aset utama berkualiti yang akan mengekalkan nilai. Pada 2021, kami menjangka beberapa aset utama berkualiti akan diniagakan,” kata Buckley.

Beliau berkata ruang pejabat ‘terpakai’ (bangunan sedia ada tanpa sebarang pengubahsuaian besar-besaran sebelum dipasarkan) mendapati sukar untuk bersaing mendapatkan penyewa yang mahu menaik taraf menghuni pejabat baharu di Kuala Lumpur.

Advertisement

Buckley berkata harga bangunan pejabat lama dijangka terus menurun dan dalam sesetengah kes ia perlu dijadikan untuk kegunaan lain.

Namun sebaliknya, katanya, penghunian sektor pejabat di Pulau Pinang terus kekal kukuh dengan kadar purata bagi empat bangunan utama yang dipantau di George Town kekal pada 89 peratus, manakala purata kadar penghunian terus bertahan pada 78.2 peratus setakat suku ketiga 2020.

Sementara itu, selain daripada kelas aset komersial tradisional, Knight Frank Malaysia berkata terdapat peningkatan minat terhadap kelas aset alternatif – pusat data, yang mana satu daripada keperluan utamanya adalah untuk mempunyai bekalan kuasa yang stabil.

Advertisement

“Ini termasuk TM One Iskandar Puteri Data Centre sedia ada di Iskandar Puteri dan pembangunan yang sedang dimajukan di kawasan seluas 100,000 kaki persegi Keppel Data Centre di Kulai Iskandar Data Exchange, kedua-duanya di Johor. Hab pusat data lain terletak di Cyberjaya, Selangor,” kata Ketua Knight Frank Cawangan Johor Debbie Choy.

Bagi maklumat lanjut, laporan tersebut boleh didapatkan di http://bit.ly/REH2H2020.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top