JOHOR BAHRU, 24 Feb: Susulan pendedahan skandal 1MDB dalam perbicaraan mahkamah di Amerika Syarikat (AS), UMNO dijangka akan menggembleng lebih banyak tenaga dan ratusan juta ringgit untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, kemenangan UMNO di Johor penting untuk memastikan kelangsungan kluster mahkamah dapat diselamatkan.
“Mereka mahu kuasa secara sempurna tanpa berkongsi seperti sekarang.
“Saya yakin mereka akan berusaha memenangi PRN ini untuk menutup pendedahan skandal yang semakin membesar ini.
“Jadi saya mengingatkan bahawa kita sekarang menghadapi pilihan raya yang bukan sebarangan,” ujarnya.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Watikah Calon Parti Amanah Negara (AMANAH) di Hotel New York, dekat sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi Malaysia kini berada dalam keadaan yang semakin buruk berpunca pendedahan skandal 1MDB.
Beliau berkata, perbicaraan yang berlangsung di AS telah mengejutkan banyak pihak berhubung penggunaan wang 1MDB untuk rasuah dan menutup skandal seks.
“Kita tak pernah terbayang situasi yang sangat buruk seperti ini dan dilakukan pula oleh orang Melayu dan beragama Islam,” katanya.