BM | EN | 中文

KKM pertimbang pesakit Covid-19 risiko rendah dirawat di rumah

Dr-Noor-Hisham-KKM.png
Advertisement

PUTRAJAYA, 24 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbang untuk membenarkan pesakit Covid-19 berisiko rendah menjalani rawatan di rumah, kata Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kaedah tersebut merujuk kepada pesakit positif Covid-19 tidak bergejala namun perkara itu belum dilaksanakan kerana setakat ini bilangan katil di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah ketika ini masih mencukupi untuk merawat pesakit berisiko rendah.

Jelasnya sekiranya kaedah itu mahu dilaksanakan ia perlu mengambil kira kesesuaian ruang kuarantin di rumah pesakit.

Advertisement

“Kita boleh pertimbangkan mereka (pesakit Covid-19) untuk kuarantin (menjalani rawatan) di rumah iaitu melibatkan kes positif tidak bergejala untuk kuarantin di rumah.

“Tetapi perlu dilihat kepada keadaan ruang di rumah yang bersesuaian baru boleh dibenarkan. Bagaimanapun ketika ini tiada keperluan lagi (rawatan kes positif di rumah),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata buat masa ini kemudahan KKM masih berkemampuan untuk merawat pesakit Covid-19 kerana walaupun kes harian meningkat namun ia diseimbangkan dengan kes discaj yang tinggi setiap hari.

Advertisement

Dr Noor Hisham turut memperincikan penggunaan jumlah katil di sembilan hospital bagi rawatan Covid-19 di Sabah terdapat 1,123 katil, penggunaan katil 70 peratus manakala di pusat kuarantin berisiko rendah pula 4,730 katil (30 peratus penggunaan ketika ini).

Sementara itu, berikutan desas-desus bahawa pesakit peringkat awal dirawat di rumah di Sabah, Dr Noor Hisham berkata rawatan di rumah adalah antara pilihan yang perlu dipertimbangkan KKM tetapi masih belum dapat dilaksanakan.

Beliau menjelaskan bahawa apabila seseorang mengambil ujian swab, individu itu akan dinasihatkan supaya tinggal di rumah sementara menunggu keputusan ujian dalam tiga atau empat hari.

Advertisement

“Jadi, setelah keputusannya diperoleh pada hari kelima, kami membawa mereka ke hospital. Rawatan di hospital, pada mulanya mengambil masa 14 hari, tetapi sekarang kami mengurangkannya menjadi 10 hari, mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Oleh itu, semasa di rumah, ia seolah-olah kita mengendalikan mereka sebagai positif, dengan hari pertama bermula dari hari mereka mengambil ujian swab,” katanya.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top