KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis mendaftar dan menyediakan peranti aplikasi MySejahtera di premis masing-masing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman sesawang KKM berkata ini bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19.
Noor Hisham berkata penggunaan aplikasi tersebut juga akan dimasukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Dalam kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga, restoran nasi kandar didapati tidak menggunakan aplikasi Mysejahtera, pendaftaran pengunjung secara manual atau mengambil suhu badan pelanggan mereka.
“Sekarang ini kita ada masalah, cabaran kita untuk mengesan kontak rapat.
“Sebab yang pertama, tidak ada penggunaan Mysejahtera ataupun aplikasi lain, yang kedua tiada rekod.
“Kedai-kedai sepatutnya ada rekod pelanggan yang keluar masuk kedai tersebut dengan nombor telefon dan sebagainya,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya semalam.
Dia berkata sekiranya tiada rekod, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) akan dilaksanakan di kawasan tersebut, selain tindakan kesihatan awam dalam mencegah dan mengawal penyakit tersebut.
Johorkini