BM | EN | 中文

KKM cadang pekeliling kecualikan guru, pelajar bergejala hadir ke sekolah

adham-baba-kluster-pendidikan.jpg

Dr Adham menunjukkan rumusan kluster sektor pendidikan bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 25 April 2021 pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada Isnin (Gambar Ehsan Bernama)

Advertisement

PUTRAJAYA, 26 APR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan agar pekeliling dikeluarkan bagi membenarkan guru serta pelajar bergejala untuk tidak hadir ke sekolah sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan itu dibuat susulan peningkatan kluster pendidikan sebanyak 83.3 peratus sejak 11 April hingga Sabtu lepas, dan ia telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Pekeliling perlu dikeluarkan kerana terdapat kebimbangan daripada guru-guru serta pelajar yang mereka akan dikenakan tindakan selain dilabel ponteng jika tidak hadir ke sekolah meskipun bergejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan hilang deria rasa,” katanya pada sidang akhbar mingguan Covid-19 di sini pada Isnin.

Advertisement

Beliau berkata, guru-guru bergejala yang tidak hadir ke sekolah perlu memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan surat pengesahan bahawa guru itu bergejala akan dikeluarkan.

“Ujian saringan Covid-19 akan dijalankan terhadap mereka dan jika sah positif, laporan akan dibuat segera. Cuma kita ingatkan guru agar tidak salah guna perkara ini,” katanya.

Dr Adham berkata, pelajar yang mempunyai gejala diminta untuk terus tidak hadir ke sekolah kerana KKM tidak mahu tercetusnya penularan Covid-19 sekiranya mereka hadir.

Advertisement

“Pelajar bergejala ini perlu diberi pelepasan atau cuti dan mereka ini akan dianggap tidak ponteng namun harus berada di rumah masing-masing,” katanya.

Dr Adham memaklumkan sejak Januari hingga kini, sebanyak 23,779 pelajar berusia 12 tahun ke bawah disahkan positif Covid-19.

“Jumlah itu dilihat meningkat secara mendadak berbanding 8,369 kes membabitkan pelajar berusia 12 tahun ke bawah pada tahun lepas,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 dalam tempoh 1 Januari hingga 25 April lepas dilaporkan tiada kaitan epid (epid link) atau tidak diketahui punca.

“Ia membabitkan sebanyak 170,173 kes dan ia sangat banyak. Kes sporadik ini sudah berada dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, tiga negeri yang mencatatkan kes sporadik tertinggi adalah Selangor dengan 65,215 kes; Kuala Lumpur (19,834) dan Johor (17,974).

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top