JOHOR BAHRU, 11 APRIL: Kementerian Kesihatan akan membuka sebuah lagi makmal saringan Covid-19 di negeri ini bagi mempercepatkan proses pengesanan kes Covid-19 di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, proses penyediaan makmal tersebut sedang dilaksanakan.
Katanya, setakat ini dua makmal Covid-19 beroperasi di Johor iaitu di Hospital Sultanah Aminah dan Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru.
“Kita sedang dalam proses untuk membuka sebuah lagi makmal Covid-19 di negeri ini.
“Bagi tujuan tersebut, KKM turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk melakukan saringan dan ujian untuk mendapatkan keputusan yang cepat dan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melakukan lawatan kerja ke Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kemasukan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berkurangan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan itu pada 7 April lalu.
“Semasa fasa pertama pelaksanaan PKP di negara ini, dianggarkan seramai 1,400 rakyat Malaysia pulang menerusi Tambak Johor sehari, manakala seramai 700 sehari pulang menerusi Link Kedua.
“Sementara itu, jumlah tersebut meningkat semasa fasa kedua PKP di negara ini iaitu anggaran seramai 2,000 sehari di Tambak Johor dan 1,000 sehari di Link Kedua.
“Jumlah kemasukan tersebut bagaimanapun menunjukkan trend penurunan di kedua-dua pintu masuk selepas Singapura melaksanakan PKP,” tambahnya.
Johorkini