JOHOR BAHRU, 19 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada sesiapa yang menyimpan stok produk Energy Candy agar menghentikan penjualan termasuk melalui atas talian.
Amaran itu dikeluarkan susulan dari hasil siasatan yang mendapati produk berkenaan mengandungi racun berjadual tadalafil.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan menjual produk itu boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui akaun twitter KKM.
Beliau turut menjelaskan, setakat ini sebanyak 160 premis pemborong dan pengedar telah diperiksa.
Katanya, ia bagi memastikan ExtrAli, Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy tidak terjual.
Tambahnya, sejumlah 434,742 peket produk bernilai RM131,340.70 juga telah dirampas.
Johorkini