BM | EN | 中文

Kitar semula bungkusan pembelian barangan dalam talian, jaga alam sekitar

SWM-Environment.png
Advertisement

SEREMBAN, 27 JAN: Bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terjaga, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyeru orang ramai meningkatkan amalan kitar semula dengan mengasingkan bungkusan plastik yang diterima melalui pembelian dalam talian.

Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, pembelian dalam talian merupakan pilihan utama pengguna dan pastinya melibatkan banyak penggunaan bungkusan plastik.

“Oleh itu, dijangkakan lambakan sisa plastik pembungkusan akan terus meningkat dengan amalan norma baharu belian dalam talian.

Advertisement

“Sisa plastik yang dijana mengambil masa sekurang-kurangnya 400 tahun untuk terurai dan janaan sisa plastik yang terlalu banyak menjadikan tapak pelupusan padat serta memendekkan jangka hayat tapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kadar peratusan sisa plastik yang direkodkan pada 2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 2005 iaitu 44.5 peratus.

Mohd Norlisam berkata pengurusan sisa terutamanya sisa plastik secara berhemah sangat penting bagi memastikan sisa tersebut tidak membebankan tapak pelupusan dan membolehkan sumber tanah yang ada digunakan untuk pembangunan negara selain pembangunan tapak pelupusan baharu.

Advertisement

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor supaya terus membudayakan amalan kitar semula dari rumah dan mendaftar sebagai ahli dalam program KITARecycle bagi membantu menjaga alam sekitar.

“Lebih daripada 20 barangan yang boleh dikitar semula dan menerima mata ganjaran termasuk kertas, plastik, tin minuman, logam, bateri, barangan elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan televisyen,” katanya.

Program KITARecycle merupakan program kitar semula berganjaran yang membolehkan setiap ahli KITARecycle yang berdaftar mengumpulkan mata ganjaran melalui amalan kitar semula dan menebus mata ganjaran yang terkumpul melalui pemindahan wang secara dalam talian, jelasnya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top