ISKANDAR PUTERI, 3 OGOS: Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan mengapa untuk 16 hari berturut-turut, Indonesia berjaya menurunkan kes baharu Covid-19 negara tersebut berbanding Malaysia.
Menurut Kit Siang, kes Covid–19 di Indonesia berkurangan lebih daripada separuh kepada angka 8,955 semalam berbanding 20,998 kes di Malaysia.
“Ini bukanlah cubaan untuk mencari kesalahan, tetapi sebaliknya untuk mencari cara menambah baik cara kita mengendalikan wabak Covid-19 supaya kita boleh menang melawan wabak ini daripada terus menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia tahun lepas,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Kit Siang pada kadar semasa jangkitan dan kematian di Malaysia akan melepasi paras 1.8 juta kes terkumpul hari ini dan akan melepasi paras dua juta kes terkumpul dan 20,000 kematian akibat Covid-19 pada sambutan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.
“Kita akan mengatasi dua lagi negara, Iraq dan Belanda, untuk berada di tempat ke-21 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, menyertai 20 negara lain dengan lebih dua juta kes Covid-19.
“Perkara ini adalah satu perkara yang memalukan dan tidak pernah dibayangkan 20 bulan yang lepas semasa wabak ini mula tular.
“Selama berbulan-bulan, saya telah menyeru supaya strategi, pendekatan, dan dasar yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” digunakan untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya lagi.
Justeru itu katanya, dasar “hidup bersama Covid” yang kini menjadi dasar kerajaan berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri selain “semua orang perlu bersedia untuk hidup bersama dengan Covid-19” dengan cara dan bersyarat.
Antaranya, Malaysia tidak boleh membiarkan situasi di mana kes Covid-19 terus meningkat dengan kadar kematian yang tinggi dab menjadi negara dengan gelombang penularan Covid-19 terpanjang di dunia.
“Ujian terbesar untuk Khairy sebagai Menteri Kesihatan baharu adalah sama ada beliau boleh mengembalikan keadaan di negara kita seperti semasa sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari semasa kita mencatatkan 2,021 kes harian dan empat kematian.
“Kemudiannya kepada keadaan seperti semasa Hari Malaysia ke-57 setahun lepas apabila kita mencatatkan 21 kes baharu dengan sifar kematian.
Tambah veterab DAP itu lagi Menteri Kesihatan perlu menjawab persoalan mengenai peningkatan jumlah kes dan kematian walaupun dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Saya tidak menafikan keberkesanan vaksin untuk mengurangkan risiko jangkitan dan komplikasi serius, tetapi saya hanya ingin memberikan amaran mengenai bahaya bergantung sepenuhnya kepada vaksinasi untuk memenangi perang melawan Covid-19, seperti yang kini dapat dilihat daripada pengalaman negara-negara lain.
“Program Vaksinasi Kebangsaan ini bergerak terlalu perlahan dan perlu dipercepatkan, tetapi perkara ini sahaja tidak akan membawa kemenangan dalam perang melawan Covid-19,” kata Kit Siang lagi.
Johorkini