BM | EN | 中文

KISAH DI SEBALIK MATA WANG KERTAS JOHOR

duit-estet-di-johor.jpg
Advertisement

TAHUKAH anda Johor pernah mempunyai mata wang sendiri di Kukup? Mata wang yang masih disimpan oleh sebahagian peminat numismatik kini sudah berusia 140 tahun. Mata wang ini hanya boleh digunakan di Ladang Konstantinopel di Kukup milik saudagar terkenal, Tuan Syed Mohamed bin Syed Ahmed Alsagoff.

Mata wang ini mempunyai nilai dua ringgit, satu ringgit, 50 sen dan 25 sen. Para pekerja Tuan Syed Mohamed sahaja boleh menggunakannya dalam ladangnya di Kukub, Johor. Saiz setiap mata wang yang empat jenis ini berbeza antara satu sama lain. Ia kini menjadi koleksi nadir yang boleh dilihat di Muzium Negara Singapura selain dalam koleksi para pengumpul mata wang lama.

Mengapa ladang beliau di gelar Konstantinopel? Inilah lambang betapa rapatnya Tuan Syed Mohamed dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah pada waktu itu.

Advertisement

Tuan Syed Mohamed  yang memiliki syarikat Alsagoff Singapore Steamship and Co. berpusat di Singapura telah menawarkan perkhidmatan menunaikan haji menaiki kapal mereka. Tiket-kontrak telah diperkenalkan beliau iaitu dengan mengizinkan bakal-bakal haji naik kapal dengan membeli tiket secara hutang.

Tiket itu juga adalah kontrak persefahaman antara Alsagoff  dan bakal haji iaitu sekiranya mereka tidak dapat membayarnya kelak, mereka perlu bekerja di Ladang Konstantinopel di Kukub. Kontrak itu juga melarang mereka bekerja di luar Kukub bagi menyelesaikan hutang mereka. Dengan cara ini, lebih ramai orang Melayu seluruh rantau dapat menunaikan haji.

Perniagaan Alsagoff ini memberi kesempatan kepadanya untuk berhubung rapat dengan kerajaan Uthmaniyyah. British tidak senang duduk dengan Tuan Syed Mohamed apabila mendapat tahu bahawa beliau akan dilantik menjadi Duta Uthmaniyyah di Singapura.

Advertisement

British akhirnya terpaksa akur apabila Tuan Syed Mohamed dilantik menjadi Duta Uthmaniyyah di Singapura pada 1880 oleh Sultan Abdul Hamid II. Apatah lagi, pada 1893, ketika Tuan Syed Mohamed mengiringi Sultan Abu Bakar ke Turki, beliau juga dianugerahkan darjah kebesaran diraja kedua tertinggi serentak dengan darjah kebesaran diraja tertinggi Uthmaniyyah yang diterima baginda. Beliau sebenarnya menjadi pengiring Sultan Abu Bakar sejak dari 1879 sehingga 1893 setiap kali baginda melawat ke negara-negara Eropah.

Ketika Aceh diserang Belanda pada tahun 1892, wakil kerajaan Aceh bernama Sayid Dzin juga telah mengutus surat kepada Tuan Syed Mohamed untuk dihantar kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah meminta bantuan menentang Belanda. Saat itu kapal Ertugrul dari Uthmaniyyah yang dalam perjalanan ke Jepun berlabuh di Singapura.

Berbalik kepada kisah mata wang tadi, kita boleh lihat bukan sahaja penghutang haji yang menjadi pekerja Ladang Konstantinopel. Malah, para penghutang yang tidak dapat melunaskan hutang dalam tempoh yang ditetapkan itu sedikit sahaja jumlahnya. Pastinya terdapat kaum bukan Melayu lain yang bekerja di sini kerana mata wang ini hanya khas dikeluarkan sebagai “Pemberian Tunai Kepada kuli-kuli yang membawa not ini” seperti tertera pada mata wang ini. Ia boleh dilihat menerusi tulisan lain yang tertera di atas mata wang itu dalam bahasa Tamil dan Cina selain bahasa Melayu. Inilah mata wang sah dan laku atas izin Sultan Abu Bakar dengan tertera kalimah jawi “Dengan kebenaran Duli Yang Maha Mulia Maharaja Johor” pada mata wang berkenaan.

Advertisement

Tuan Syed Mohamed juga rapat dengan Sultan Abu Bakar seperti yang diceritakan tadi. Hubungan baik ini terbina lama kerana sebelum zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, kerabat diraja tinggal di Teluk Belanga, Singapura. Di situ jugalah pusat pemerintahan Kerajaan Johor sehinggalah dipindahkan ke Tanjung Puteri (kini dikenali sebagai Johor Bahru) pada 1866. Namun, kerabat diraja masih ramai terus menetap di Singapura sehingga 1889. Jadi, tidak hairanlah hubungan mereka sudah terjalin lebih awal lagi sebelum baginda menjadi Sultan Johor.

Setelah Sultan Abu Bakar memindahkan pemerintahan ke Tanjung Puteri, baginda kemudiannya memberi konsesi Ladang Konstantinopel di Kukub ini yang melibatkan kawasan tanah seluas 60,000 ekar kepada Tuan Syed Mohamed pada 1878. Dua bulan selepas beliau mendapat konsesi ini, maka diperkenalkan pula matawangnya itu.

Asal nama ladang ini ialah Ladang Konsesi Kukub, namun kemudiannya ditukar Tuan Syed Mohamed kepada Ladang Konstantinopel. Di sini dimajukan penanaman getah, sagu, kelapa, kopi, nenas, koko, gambir, lada hitam dan sirih.

Advertisement

Selain hasil pertanian ini dibekalkan ke Singapura, Tuan Syed Mohamed  juga mengeksport ke negara-negara Arab dan Eropah. Semua ini diuruskan oleh Firma Alsagoff & Co. termasuk urusan perkapalan untuk penghantaran ke Singapura. Dari Singapura barulah barangan eksport ini dihantar ke negara lain. Jika dilihat pada peta hari ini, Ladang Konstantinopel ini meliputi kawasan Pontian, Kukub dan sebahagian Gelang Patah.

Pingat Darjah Kerabat Johor (DK) yang diperkenalkan Sultan Abu Bakar pada 1886 juga dianugerahkan kepada Tuan Syed Mohamed , satu-satunya orang asing yang menjadi salah seorang daripada enam orang penerima pertama pingat DK. DK sepatutnya diterima oleh Kerabat Diraja Johor sahaja, namun Tuan Syed Mohamed  adalah istimewa pada mata baginda.

Jangan kita lupa juga bahawa Tuan Syed Mohamed bin Syed Ahmed Alsagoff ini turut dikenali dengan gelaran “Nong Chik”. Ini disebabkan beliau berketurunan Bugis dari sebelah ibunya yang berasal dari Sulawesi. Dalam bahasa Bugis, “Nong” bermaksud anak lelaki tunggal dan “Chik” bermaksud anak bongsu.

Advertisement

Dua tahun sebelum Tuan Syed Mohamed meninggal dunia, beliau telah menubuhkan Muslimin Trust Fund Association (MTFA) pada 31 Ogos 1904 bagi menjaga kebajikan umat Islam yang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik. Tentunya tanggal 31 Ogos kemerdekaan kita juga merupakan tanggal bermakna buat umat Islam di Singapura kerana bebas dari belenggu kewangan atas bantuan MTFA.

Hanya berdasarkan mata wang kertas Kukub di Johor ini, kita dapat mengetahui kisah seorang saudagar kaya yang berjasa kepada Johor dan Singapura sekaligus rantau Alam Melayu walaupun dalam keadaan penjajah British masih mengawal pentadbiran negara. Perjuangan takkan pernah padam sekalipun hidup dalam penjajahan.

 

Advertisement

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top