BATU PAHAT, 19 NOV: Masalah jantung yang dihidapi adik Rubi atau nama sebenarnya Rabiatul Syakilyn Mohd Faizul Redzuan, 7, sejak lahir kini mula mendapat perhatian pelbagai pihak setelah kisah penderitaannya disiarkan Bernama, semalam.
Antara pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga kanak-kanak itu supaya pembedahan dapat dilakukan segera ialah Lions Club Batu Pahat dan Pantai Hospital Batu Pahat.
Menurut Timbalan Presiden Lions Club Batu Pahat, Richard Chan, setelah mengetahui keluarga adik Rabiatul mempunyai masalah kewangan sehingga tertangguh rawatan susulan yang perlu dijalani, pihaknya terpanggil untuk memberikan bantuan.
“Antara yang akan dilakukan oleh pihak kami adalah dengan menubuhkan satu tabung kutipan atau melakukan kerjasama dengan mana-mana yayasan serta orang persendirian untuk menampung perbelanjaan pembedahan berkenaan.
“Kita juga akan menanggung segala perbelanjaan perjalanan serta penginapan adik Rubi ini untuk rawatan susulan sehingga pembedahan berjaya dilakukan,” katanya yang ditemui semasa melawat Rabiatul mendapatkan rawatan di Pantai Hospital Batu Pahat di sini, hari ini.
Sementara itu, Pantai Hospital Batu Pahat melalui Pakar Perubatan Kardiologi Intervensinya, Dr. Timothy James Watson akan menanggung perbelanjaan bagi rawatan awal yang dilakukan di hospital berkenaan.
“Pesakit ini akan dirujuk ke Hospital Serdang, di Selangor untuk proses pembedahannya, memandangkan hospital berkenaan mempunyai pakar pembedahan untuk penyakit jantung bagi kanak-kanak,” jelas Dr Timothy.
Dalam pada itu, ayah kepada Rubiatul, Mohd Faizul Redzuan Abd Malik, 35, berkata beliau bersyukur kerana ada pihak yang ingin membantu anaknya itu untuk menjalani pembedahan dan rawatan susulan.
Katanya, akibat kesempitan hidup anak keduanya daripada lima beradik itu telah terlepas beberapa kali rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.
“Saya berharap agar pembedahan berkenaan dapat dilakukan segera, memandangkan anak saya ini tidak dapat melakukan aktiviti fizikal sebagaimana kanak-kanak lain kerana sering kepenatan sekiranya terlalu banyak bergerak,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan kehidupan keluarga Mohd Faizul Redzuan Abd Malik boleh diumpamakan sudah jatuh ditimpa tangga apabila beliau turut ‘berkongsi’ penyakit jantung berlubang dengan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.
Mohd Faizul berkata jantung berlubang yang dialaminya sewaktu kanak-kanak itu kembali menyerang kesihatannya apabila dimaklumkan doktor injap jantungnya mula terbuka menyebabkan dia kerap demam dan sukar membuat kerja berat.
Rabiatul anak kedua daripada lima beradik itu pula disahkan bermasalah dengan jantung semenjak lahir dan perlu mendapatkan rawatan hampir setiap bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Kesusahan keluarga ini menyebabkan mereka bukan sahaja terpaksa ‘mengikat perut’ bagi menampung kos rawatan serta perbelanjaan malah ada kalanya terpaksa menebalkan muka meminta sumbangan rakan-rakan serta penduduk sekitar kediamannya di Kampung Parit Othman, Parit Sulong, dekat sini.
Bernama