MUAR, 11 JAN: Sebuah kilang perabot musnah sebahagiannya dalam satu kebakaran yang dilaporkan berlaku di Lot 3951, Lorong Paya, Jalan Kebun Sayur, Bakri dekat sini hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Mohd Jefri Jamal memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.42 pagi.
“Setibanya di lokasi, 30 peratus daripada stor kilang separuh kekal berkenaan yang berkeluasan 40 x 60 kaki telah musnah terbakar.
“Operasi memadam kebakaran itu melibatkan seramai 19 pegawai dan anggota beserta empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan Pagoh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 12.05 tengah hari.
Johorkini