BM | EN | 中文

Kilang milik Karyon Industries di Plentong ditutup sementara berikutan pekerja dijangkiti COVID-19

Allbright-Industries-M-Sdn-Bhd.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Anak syarikat milik penuh Karyon Industries Bhd, Allbright Industries (M) Sdn Bhd (AISB), menutup sementara kilang pembuatan di Plentong, Johor selepas empat pekerja pengeluarannya disahkan positif COVID-19.

Pembuat produk polimerik itu menjelaskan semua pekerja berkenaan kini menerima rawatan di kemudahan kerajaan yang ditetapkan seperti diarahkan Kementerian Kesihatan.

“Semua pekerja di kemudahan pembuatan yang terjejas telah dikuarantinkan dan akan menjalani saringan seterusnya,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Advertisement

Menurut Karyon Industries kawasan kemudahan pembuatan yang terjejas telah ditutup buat sementara untuk prosedur disinfeksi dan sanitasi.

Ia kekal ditutup sehingga diberitahu kemudian dan seperti dinasihatkan oleh kementerian tersebut, menurutnya.

“Buat masa ini, syarikat tidak dapat menilai kesan kewangan yang timbul akibat penutupan sementara kemudahan pembuatan yang terjejas.

Advertisement

“Syarikat akan terus memantau situasi ini dan perkembangan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd dalam masa terdekat,” menurut Karyon Industries.

AISB menjalankan aktiviti terutama dalam pembuatan dan dagangan stearat logam termasuk kalsium stearat, zink stearat dan magnesium stearat, di samping penstabil polivinil klorida (PVC).

Stearat logam digunakan khususnya sebagai bahan tambahan untuk pelinciran dan serakan pemprosesan plastik.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top