TANGKAK, 27 APR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diminta menjawab persoalan berhubung sebuah kilang yang dibenarkan operasi oleh kementerian berkenaan walaupun pada awal bulan ini terdapat kes Covid-19 positif berlaku di kilang tersebut.

Adun Serom, Ir Dr Faizul Amri Adnan
Perkara itu dilontarkan Adun Serom, Ir Dr Faizul Amri Adnan yang berkata, kilang itu masih beroperasi seperti biasa dengan surat kelulusan MITI walaupun sebelum ini beberapa pekerjanya didapati positif Covid-19.
Beliau difahamkan permohonan kilang itu untuk beroperasi selepas disahkan ada kes positif Covid-19 telah ditolak Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Nama kilang tersebut bagaimanapun tidak dinyatakan oleh Dr Faizul.
Katanya, kelulusan awal pihak MITI juga diragui kerana produk yang dikeluarkan syarikat terbabit tidak termasuk dalam senarai produk kritikal seperti yang ditetapkan oleh MITI dan pihak Majlis Daerah Tangkak (MDT).
Katanya lagi, kilang yang beroperasi itu telah menimbulkan kegusaran di kalangan pekerja dan masyarakat sekitar yang bimbang soal keselamatan mereka di kawasan itu.
“Saya mendapat aduan dari pekerja kilang dan masyarakat sekitar kawasan tersebut.
“Ini adalah suatu yang sangat bahaya kerana kilang tersebut telah mempunyai rekod berkenaan pesakit Covid-19 dan kita tidak mahu kes di situ berulang lagi.
“Kementerian perlu melakukan sesuatu berkenaan kelulusan awal untuk kilang tersebut beroperasi. Ini adalah suatu perkara yang menjadi kepentingan orang awam secara keseluruhannya,” kata Dr Faizul ketika dihubungi.
Beliau turut mempersoalkan kelulusan operasi kilang itu, kerana dalam makluman umum didapati tidak memenuhi syarat sektor yang dibenarkan MITI serta perkara 9 senarai perniagaan yang dibenarkan Jawatankuasa Bencana Daerah.
Dr Faizul yang merupakan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata apa yang berlaku menunjukkan bahawa kerajaan hari ini mengamalkan sikap pilih bulu dalam proses kebenaran berkenaan.
“Adakah wujud salahguna kuasa disini? Mohon tidak diperjudikan nasib rakyat keseluruhannya demi untung nasib syarikat gergasi ini.
“Adakah kerajaan lebih mengutamakan kepentingan syarikat tersebut berbanding nasib atau keselamatan rakyat yang berkerja di sana?
“MITI dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus mengambil tindakan lanjut berkenaan perkara ini.
“Saya akan membawa perkara ini ke peringkat seterusnya bagi usaha menyelamatkan pekerja-pekerja yang berkerja di situ dan masyarakat sekitar keseluruhannya,” katanya lagi.
Johorkini