BM | EN | 中文

Kidex mampu jadi suntikan anjakan ekonomi Johor

Izhar-Ahmad.jpg

JOHOR BAHRU, 28 OGOS: Projek pembangunan pusat data Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) di Sedenak yang dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion, dilihat dapat menjadi suntikan anjakan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Izhar Ahmad berkata malah, Kidex yang dimajukan oleh TPM Technopark Sdn Bhd iaitu syarikat milik Johor Corporation (JCorp) itu dapat membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, pembangunan itu juga dilihat selaras dengan matlamat kerajaan negeri di bawah portfolionya yang mahu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi pada tahun ini.

“Projek ini dapat memberi satu suntikan anjakan ekonomi negeri, lebih-lebih lagi Johor merupakan antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Oleh itu, kita mahu satu pembangunan teknologi berdaya tinggi kerana untuk membangunkan kembali ekonomi yang telah jatuh, pekerja berkemahiran tinggi turut diperlukan yang mana projek ini sekali gus dapat membuka peluang untuk pelajar berasaskan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai projek Kidex.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Sesi Pendeklamasian Sajak Patriotik yang disertai 63 pelajar Kolej Kemahiran Johor bersempena sambutan Hari Kebangsaan di sini semalam.

Kidex, hab data terkini di Malaysia merupakan komponen dalam pembangunan Kulai Industrial Park.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata Kidex yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023, mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion menerusi syarikat berkaitan pengurusan data dan perkomputeran, selain mampu menawarkan 1,600 peluang pekerjaan.

Hasni berkata, Kidex turut berjaya menarik minat pelabur dalam dan luar negara seperti China, United Kingdom dan Jepun yang telah datang membuat tinjauan tapak.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top