BM | EN | 中文

Khaled Nordin letak jawatan pengerusi Boustead Holdings

khaled_nordin.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan menerusi akaun facebook semalam, beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan tindakan itu sebagai mengambil tanggung jawab selaku ahli yang terus akur serta hormat dengan sebarang keputusan dan ketetapan parti.

“UMNO secara jelas telah membuat ketetapan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Advertisement

Mohamed Khaled turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Boustead Holdings yang telah memberi komitmen dan kerjasama balk sepanjang perkhidmatan beliau sejak Mei 2020.

“Saya yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu tabung persaraan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.

Pada Selasa, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian Majlis Tertinggi (MT) untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Advertisement

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas MT secara maya, Ahmad Zahid berkata surat akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu adalah mencukupi untuk menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin dan telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Boustead Holdings berkata sebelum dilantik sebagai pengerusi, Mohamed Khaled merupakan Menteri Besar Johor bagi tempoh 2013-2018 dan pernah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada 2008-2013.

Dalam kenyataan berasingan, Boustead Holdings berkata kumpulan itu akan memulakan proses bagi mengenal pasti calon sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan pengerusi tersebut.

Advertisement

Menurutnya, ini bagi memastikan usaha untuk meneruskan momentum strategi pemerkasaan kumpulan bagi pengembangan perniagaan konvensional ke arah pembangunan serta memanfaatkan platform analisis data dan risikan perniagaan selain memajukan hala tuju rancangan perniagaan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top