BM | EN | 中文

Keuntungan bersih Mah Sing turun kepada RM30.07 juta suku pertama 2020

mah-sing-group.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 30 MEI Keuntungan bersih Mah Sing Group Bhd pada suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020 susut kepada RM30.07 juta daripada RM55.01 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan merosot kepada RM371.13 juta berbanding RM450.33 juta sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Mah Sing mengaitkan prestasi berkenaan dengan kemerosotan permintaan bagi segmen pembinaan — penyumbang utama kepada keputusan kumpulan itu — semasa sambutan Tahun Baharu Cina serta kelewatan dalam kemajuan pembinaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

“Sentimen lemah pembeli dan penutupan kawasan pembinaan dan pejabat jualan berikutan pelaksanaan PKP bagi membendung pandemik COVID-19 turut memberi kesan kepada penukaran jualan dan pencapaian kerja,” katanya, lapor Bernama.

Menurut Mah Sing, perolehan segmen pembangunan hartanah syarikat itu berkurangan kepada RM281.3 juta pada suku pertama 2020 berbanding RM355.5 juta pada suku pertama 2019, manakala keuntungan operasinya jatuh kepada RM36.7 juta daripada RM68.9 juta sebelum ini.

Ia berkata segmen plastik terus menyumbang prestasi positif ke atas kumpulan pada suku berkenaan walaupun perolehan susut kepada RM76.1 juta berbanding RM80.4 juta pada suku pertama 2019.

Advertisement

Keuntungan operasi segmen itu naik 1.2 peratus kepada RM3.34 juta pada suku itu berikutan penurunan harga bahan mentah.

Perolehan segmen hotel pula merosot sedikit kepada RM1.9 juta berbanding RM2.2 juta tahun lepas, kata syarikat itu sambil menambah kerugian operasi segmen tersebut pada suku pertama 2020 turun RM3 juta berbanding RM3.7 juta tahun lepas, terutamanya disebabkan penurunan caj susut nilai kepada aset hotel yang beroperasi.

Dalam kenyataan berasingan, Pengasas dan Pengarah Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata syarikat itu mempunyai lembaran imbangan yang baik dengan baki tunai dan bank kira-kira RM1.05 bilion menerusi pengurusan kewangan yang berdisiplin.

Advertisement

Sehingga 31 Mac, 2020, syarikat itu mempunyai baki simpanan tanah sebanyak 817.06 hektar dengan baki nilai pembangunan kasar dan jualan belum dijelaskan berjumlah RM24.86 bilion.

Leong berkata Mah Sing akan mengekalkan pengembangan lembaran imbangan yang terpilih dengan memberi tumpuan kepada simpanan tanah strategik yang bersesuaian dengan produk mampu milik di Greater Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Johor.

“Permintaan pasaran bagi rumah mampu milik dijangka kekal berdaya tahan berikutan kebanyakan golongan muda masih belum mempunyai rumah sendiri.

Advertisement

“Kami yakin bahawa hartanah merupakan kelas aset pelaburan yang menjadi pilihan untuk membina dan menjaga kekayaan. Dengan simpanan tanah di lokasi strategik, kami akan terus memberi tumpuan kepada produk yang direka bentuk secara baik serta harga yang menarik seiring dengan permintaan pasaran,” katanya.

Mengenai masa depan, beliau berkata syarikat itu menetapkan sasaran jualan RM1.6 bilion pada 2020 dengan 84 peratus daripada produknya berharga di bawah RM700,000.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top