MUAR: Keunikkan kebudayaan, makanan dan sejarah Muar merupakan ciri-ciri yang dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke daerah ini.
Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, ‘hotspot’ seperti Muar Food Street di Jalan Haji Abu, di sini, telah menarik perhatian media China semasa misi jualan pelancongan di Guangzhou, China sempena penganjuran Tahun Melawat Johor 2020 pada bulan November tahun lalu.
Cai Tung berkata, Muar mempunyai daya tarikan unik yang berbeza dengan daerah lain, antaranya seperti menikmati satay Muar sebagai menu sarapan pagi.
“Oleh itu, saya berharap penjaja-penjaja di Muar Food Street dapat memberi kerjasama kepada Majlis Perbandaran Muar untuk memperhebatkan lagi jenama Muar Food Street yang mempunyai sejarah 70 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Tanglung anjuran Kelab Kebajikan Penjaja-Penjaja Jalan Haji Abu Muar, minggu lalu.
Dalam masa sama, Cai Tung turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada kelab berkenaan sebagai dana aktiviti.
Muar Food Street merupakan salah satu tempat tumpuan warga tempatan serta pelancong domestik dan antarabangsa.
Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin memberitahu, pihaknya akan membelanjakan RM1.25 juta untuk membangunkan Food Street Jalan Haji Abu dan medan selera berdekatan dengan stesen bas Muar.
Beliau berkata, kedua-dua lokasi tersebut bakal menjadi lebih indah, bersih dan sistematik pada masa depan.
“Penaiktarafan ini adalah agar kedua-dua lokasi pelancongan ini bersesuaian dengan imej dan status Muar sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN,” katanya.
Tambah beliau, RM250,000 akan digunakan untuk membangun, menceriakan serta menyediakan gerai makanan Muar Food Street di mana proses pembukaan tender dijangka dibuka pada minggu hadapan.
Sehubungan itu, Mustaffa Kamal meminta kerjasama penjaja-penjaja supaya mengikut piawaian disediakan seperti sentiasa memakai topi, apron dan berpakaian kemas demi menjaga imej positif sektor pelancongan daerah Muar.
Johorkini