BM | EN | 中文

Ketua Audit Negara perlu siasat agihan pelitup muka

Tan-Chen-Choon-agih-pelitup-di-Jementah-Segamat.jpg

Adun Jementah, Tan Chen Choon mengagihkan pelitup muka di sekitar Segamat

SEGAMAT, 23 OGOS: Ketua Audit Negara (KAN) perlu menjalankan siasatan terperinci berkenaan agihan 24.62 juta keping pelitup muka di seluruh negara.

Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata, ini kerana sepatutnya setiap isi rumah di negara akan menerima empat keping seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan.

“Amat penting Ketua Audit Negara menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini untuk memastikan peruntukan kerajaan bagi tujuan agihan kepada isi keluarga di seluruh negara tidak diselewengkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan merujuk sidang media harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri pada 8 April 2020 yang berkata bahawa kerajaan akan mengagihkan 24.62 juta pelitup muka kepada isi rumah secara percuma di mana setiap isi rumah akan menerima empat (4) keping.

“Baru-baru ini, saya telah menjalankan aktiviti pengagihan pelitup muka di beberapa lokasi seperti di pasar awam dan pasar lambak di kawasan Segamat.

“Maklumbalas orang ramai bahawa mereka masih tidak menerima empat (4) keping pelitup muka percuma seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan lain sebelum ini, Tan turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali yang tidak menjalankan kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, menteri itu boleh membawa risiko jangkitan kepada orang ramai yang berkemungkinan ada interaksi dengan beliau.

“Kementerian Kesihatan khususnya barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai perubatan dan Majlis Keselamatan Negara telah bertungkus lumus untuk memerangi wabak Covid-19 untuk menjaga keselamatan rakyat.

“Usaha mereka tidak harus dipandang remeh temeh oleh mana-mana pihak, khususnya negara kita sedang berhadapan dengan kemungkinan berlakunya gelombang kedua wabak Covid-19,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top