BM | EN | 中文

KeTSA sediakan SOP perlombongan Nadir Bumi Bukan Radioaktif

Kuari-Bukit-Kepong-Muar.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

PUTRAJAYA, 4 DIS: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) untuk memastikan perlombongan secara mampan, kata Menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

SOP itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai mineral daripada perlombongan hingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progresif, serta disokong perundangan berkaitan iaitu Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kajibumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Enakmen Mineral Negeri-Negeri, katanya.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

Beliau berkata KeTSA akan mengadakan sesi konsultasi dengan semua pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri, agensi-agensi persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil industri untuk memuktamadkan SOP NR-REE berkenaan.

Advertisement

“Ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat di sekitar kawasan perlombongan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sumber mineral negara dianggarkan bernilai RM4.11 trilion yang merangkumi mineral berlogam, mineral bukan logam dan mineral tenaga.

Daripada anggaran itu, Shamsul Anuar berkata sumber NR-REE di Malaysia berjumlah 15.188 juta tan metrik dengan nilai sekitar RM741 bilion (US$182 bilion), dan kebanyakannya terdapat di Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor.

Advertisement

“Kajian terperinci akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pemetaan kuantiti rizab NR-REE yang lebih tepat,” katanya, menambah beberapa kerajaan negeri telah menunjukkan minat dan mengambil inisiatif untuk meneroka potensi pembangunan NR-REE.

Shamsul Anuar berkata pematuhan sepenuhnya SOP itu merupakan syarat utama sebelum memulakan sebarang perlombongan NR-REE yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh JMG.

Selain penguatkuasaan yang akan dijalankan oleh JMG negeri, Jabatan Perhutanan negeri juga berperanan memastikan tiada perlombongan NR-REE dijalankan tanpa kelulusan teknikal dan tiada sebarang aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan hutan simpan kekal, katanya.

Advertisement

“Ini juga dapat mengelakkan insiden pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, proses saringan dan tapisan perlu dijalankan bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan.

Shamsul Anuar berkata KeTSA juga telah membangunkan kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral 2021-2030 yang akan menjadi panduan untuk memastikan pembangunan industri mineral tidak lagi tertumpu kepada aktiviti perlombongan di peringkat huluan semata-mata.

Advertisement

“Industri mineral perlu berkembang sehingga ke aktiviti pemprosesan, penambahan nilai atau penghasilan produk berasaskan mineral yang merangkumi peringkat pertengahan dan hiliran,” katanya.

Bagi menyokong industri mineral negara terus berkembang, Shamsul Anuar berkata kerajaan juga telah bersetuju mengaktifkan semula Majlis Mineral Negara (MMN) sebagai platform tertinggi melibatkan keahlian kerajaan persekutuan dan negeri, berperanan menimbang penyelarasan dasar dan isu utama berkaitan pembangunan industri mineral.

Mesyuarat pertama MMN dijangka diadakan pada penghujung Disember ini, katanya.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top