BM | EN | 中文

Ketidakpatuhan SOP isu utama kuarantin wajib – KP Kesihatan

Noor-Hisham-Abdullah-KKM.jpg
Advertisement

PUTRAJAYA, 22 JUL: Jangkitan dan penularan COVID-19 boleh berlaku jika mereka yang menjalani kuarantin wajib 14 hari, sama ada di rumah mahupun di stesen kuarantin, mengabaikan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, tegas beliau adalah amat penting bagi semua rakyat, khususnya mereka yang menjalani perintah Kuarantin Wajib, mematuhi semua SOP dan peraturan yang ditetapkan.

“Isunya ketidakpatuhan SOP, mereka yang dikuarantin di rumah tidak sepatutnya bergaul dengan ahli keluarga … jika individu positif, mereka akan jangkiti ahli keluarga.

Advertisement

“Sekiranya kita tempatkan mereka di stesen kuarantin sekali pun, tetapi mereka masih tidak patuh SOP, mereka juga mungkin dijangkiti sekiranya ada yang positif dalam kalangan mereka. Penting patuhi SOP,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19, semalam.

Sementara itu, beliau berkata masih terdapat 63 individu kuarantin wajib di rumah gagal menjalani ujian swab kedua dan usaha mengesan mereka giat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia.

Mengenai keputusan kerajaan menguatkuasakan semula perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin mulai Jumaat ini, Dr Noor Hisham berkata arahan itu hanya terpakai kepada mereka yang pulang dari luar negara bermula Jumaat ini.

Advertisement

Hari ini, kerajaan menetapkan bermula 24 Julai ini, semua warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, perlu menjalani prosedur Kuarantin Wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan, bukan lagi di rumah.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menegaskan individu yang melanggar peraturan Kuarantin Wajib seperti keluar dari rumah serta memotong dan menanggalkan gelang tangan kuarantin sebelum tamat tempoh kuarantin tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Ada kes di Johor, (individu) yang sepatutnya di rumah masa kuarantin di rumah tetapi (apabila orang kementerian datang pantau) tidak ada di rumah. Polis akan tangkap bawa ke mahkamah untuk tindakan seterusnya.

Advertisement

“Mereka yang tanggalkan wrist band kuarantin dalam tempoh kurang 14 hari, apabila datang ke klinik kesihatan untuk tamat tempoh kuarantin boleh dikenakan denda,” katanya.

Semalam, tular dua kes berasingan mengenai kes kuarantin dengan satu kes melibatkan seorang individu bergelang tangan kuarantin yang berwarna merah jambu dilihat makan di sebuah premis, manakala satu lagi berhubung penemuan gelang tangan kuarantin di balai ketibaaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top