BM | EN | 中文

Keterangan ahli politik diambil ikut keperluan undang-undang – KPN

bukit_aman_Abdul_Hamid_Bador_PDRM_Polis.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil beberapa ahli politik bagi merekod kenyataan bukan disebabkan desakan mana-mana pihak, tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau menegaskan tindakan tersebut dibuat selepas pihkanya menerima dan meneliti laporan yang dibuat oleh individu tertentu di seluruh negara terhadap ahli politik berkenaan berkaitan isu politik.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamanahkan saya sebagai Ketua Polis Negara, saya beri jaminan PDRM tidak diberi tekanan untuk mengambil tindakan, seolah-olah menekan mana-mana kumpulan atau parti politik, saya tidak benarkan,” katanya, lapor Bernama.

Advertisement

Beliau ditemui media selepas majlis penyampaian pangkat Sarjan secara “posthumous” atau anumerta, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan untuk Allahyarham Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, di sini semalam.

Sebelum ini, beberapa ahli politik termasuk bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan susulan laporan polis dibuat terhadap mereka.

Abdul Hamid berkata tindakan memanggil beberapa ahli politik sepatutnya dibuat lebih awal, namun ia tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Advertisement

“Tindakan memanggil ini bukan menangkap. SOP yang dijalankan adalah memanggil mereka mengikut tarikh diberikan dengan mengambil kira waktu senang mereka. Mereka hadir dan beberapa soalan ditanya berdasarkan laporan polis yang diterima.

“Sekiranya selepas proses soal jawab tadi, polis mengesan wujudnya satu perbuatan fitnah, maknanya individu ini difitnah, kita akan mengambil tindakan mencari pula orang yang memfitnah,” katanya.

Beliau menegaskan pegawai Polis tidak dibenarkan menggunakan kekerasan sepanjang proses merekodkan kenyataan.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top