BM | EN | 中文

KESIHATAN PERGIGIAN ORANG ASLI JADI KEUTAMAAN

IMG-20191014-WA0005.jpg
Advertisement

MERSING, 14 OKT : Menetap di kawasan terpencil serta terletak jauh dari bandar menjadi faktor masyarakat orang asli sukar untuk mendapatkan perkhidmatan termasuklah perkhidmatan kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan itu telah menyebabkan tahap kesihatan masyarakat orang asli berada pada tahap kurang memuaskan.

Malah katanya, terdapat kes-kes yang dirujuk ke hospital seperti kanser mulut berada di tahap yang kritikal.

Advertisement

“Ini kerana pendedahan awal tidak dapat dilakukan dan memandang rendah tahap kesihatan mulut. Kesihatan pergigian merupakan sebahagian daripada kesihatan umum. Kepentingan menjaga kesihatan mulut khususnya gigi amatlah penting dalam menjalani kehidupan seharian.

“Mengikut statistik daripada Bahagian Kesihatan Pergigian Johor bagi tahun 2018, liputan perkhidmatan kesihatan pergigian di sekolah rendah dan pra sekolah orang asli di Johor adalah 100 peratus iaitu 10 sekolah rendah dan 18 buah pra sekolah.

“Perkhidmatan kesihatan pergigian ini diberi kepada murid sekolah dan tadika secara inkrimental iaitu sekali dalam setahun. Secara keseluruhannya, tahap kesihatan mulut pelajar sekolah orang asli telah menunjukan peningkatan yang baik sejak 10 tahun yang lalu,”katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim sempena Program Jom Jaga Gigi Dan Kesihatan Serta Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Johor Tahun 2019 ‘Sayangi Orang Asli’ di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, semalam.

Mohd Khuzzan berkata, pada tahun yang sama juga sebanyak 37 buah kampung daripada 58 kampung telah dilawati dan perkhidmatan kesihatan pergigian telah diberikan.

“Walaupun angka itu tidak mencapai 100 peratus liputan kesemua kampung orang asli tetapi terdapat peningkatan liputan setiap tahun.

Advertisement

“Secara keseluruhannya status kesihatan pergigian masyarakat orang asli masih perlu dipertingkatkan dan menjadi salah satu keutamaan Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Bahagian Kesihatan Pergigian Johor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada masyarakat agar bersama-sama berusaha untuk menjadikan Johor sifar malaria tempatan dengan menghayati tema Sambutan Hari Malaria Sedunia pada tahun ini iaitu ‘Sifar Malaria Bermula Dengan Kita’.

Jelasnya, tema itu dalam konteks Malaysia merupakan satu ikrar atau aku janji yang menggambarkan komitmen dan penglibatan semua lapisan masyarakat di negara ini dalam inisiatif ke arah penghapusan malaria menjelang tahun 2020.

Advertisement

 

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top