BM | EN | 中文

Kesatuan Olahraga Malaysia dikritik gara-gara pilih pegawai negeri iring atlet ke Sukan Olimpik

Kesatuan-Olahraga-Malaysia-KOM.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dikritik kerana memilih seorang pegawai dari negeri bagi mengiringi atlet ke Sukan Olimpik Tokyo, bulan hadapan.

Dengan kemungkinan besar atlet lompat tinggi Lee Hup Wei dijangka akan mengisi slot ‘wildcard’ jika tiada atlet olahraga Malaysia layak secara merit sebelum tarikh akhir 29 Jun, seorang pegawai daripada persatuan negeri menjadi pilihan KOM dan bukannya jurulatihnya, Aleksandar Gasparyan untuk mengiringi atlet berkenaan.

Bekas Pengarah Pusat Prestasi Tinggi Olahraga Asia (HPTC), Mohd Musa Noor Mohd berkata, keputusan tersebut tidak memberikan sebarang kebaikan kepada pembangunan olahraga di negara ini.

Advertisement

“Lompat tinggi adalah satu acara padang yang memerlukan kepakaran dan pengetahuan teknikal yang hanya boleh dilakukan oleh seorang jurulatih bertauliah. Biasanya ruang lebih kurang 10 minit diberikan kepada jurulatih untuk membantu atlet semasa pertandingan.

“Satu kesilapan untuk menghantar seorang pegawai berbanding jurulatih. Oleh kerana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan jadi penentu, saya berharap mereka akan membuat keputusan yang terbaik demi pembangunan sukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Presiden KOM, S.M. Mutu menjelaskan, keputusan yang dibuat itu berdasakan beberapa sebab termasuklah kepakaran teknikal dimilik pegawai berkenaan bagi menguruskan apa sahaja situasi dihadapi di Olimpik.

Advertisement

“Pegawai itu, yang menjadi pengurus pasukan, akan dapat menjaga kebajikan atlet dan jika terdapat sebarang protes, beliau tahu peraturan dan undang-undang untuk lakukannya. Beliau berpengalaman 40 tahun dan boleh berbahasa Inggeris dengan lebih baik.

“Saya tidak pasti kenapa ia telah menjadi satu isu pada masa ini. Kami percaya Hup Wei, dengan pengalaman lebih sedekat sebagai atlet, masih boleh memberikan prestasi terbaiknya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hup Wei, juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali, merupakan atlet terbaik Malaysia dalam ranking Atlet Olahraga Dunia, yang dikemas kini pada 31 Mei.

Advertisement

Hup Wei yang telah bertanding di Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, berkedudukan ke-20 dengan 1,235 mata, manakala Nauraj Singh Randhawa yang memenangi pingat emas di Kejohanan Tatabanya Siri Grand Prix (GP), semalam, berkedudukan ke-60 dengan 1,145 mata.

KOM akan menghantar sembilan atlet kebangsaan termasuk Hup Wei ke Kejohanan Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan dari 19-20 Jun sebagai usaha melayakkan diri secara merit.

Atlet lain ialah Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) Connie Chu (lontar cakera), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter), Khairul Hafiz Jantan (200 meter) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar), manakala Muhammad Ifran Shamsuddin (lontar cakera) tidak akan menyertainya akibat kecederaan.

Advertisement

Sementara itu Presiden MOM, Mohamad Norza Zakaria ketika dihubungi berkata, keputusan untuk menghantar pegawai atau pun jurulatih adalah atas keputusan KOM, namun menasihatkan yang beliau perlulah cenderung kepada atlet tersebut, kerana keperluan logistik atlet itu boleh dikendalikan pihak sekretariat.

“Bagi kami mudah, kami hadkan seorang pegawai bagi setiap dua atlet, sama ada keperluan ialah jurulatih ataupun pengurus, kami bagi persatuan untuk menentukannya. Persatuan perlu pastikan atlet yang ke Olimpik itu mencapai prestasi terbaik, pingat, ataupun apa sahaja tujuan penyertaan mereka.

“Pada satu peringkat, dia perlulah cenderung kepada atlet. Dalam soal pengurusan kontinjen, kami akan lihat maksimum 27 ke 30 orang atlet kali ini. Jadi ia bukanlah satu kontinjen yang besar, jadi akan ada satu sekretariat untuk uruskan kesemuanya,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top