BM | EN | 中文

Kes rasuah bekas ahli parlimen Kota Tinggi: Pendakwaan akan panggil 16 lagi saksi

Ahli-parlimen-Kota-Tinggi-Datuk-Noor-Ehsanuddin-Mohd-Harun-Narrashid-rasuah.png

Bekas ahli parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid hadapi 29 pertuduhan rasuah

Advertisement

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pihak pendakwaan akan mengemukakan 16 lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid yang menghadapi 29 pertuduhan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh memaklumkan demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Kamar Jamaludin semasa sebutan kes semalam bagi menetapkan tarikh sambung perbicaraan.

“Pihak pendakwaan akan menyediakan penyataan bertulis bagi kesemua 16 saksi,” katanya.

Advertisement

Terdahulu, Farah Yasmin berkata pihak pendakwaan dan pembelaan telah mencapai persetujuan untuk memilih tarikh sambung perbicaraan pada 1, 2, 19 dan 20 April serta 3, 4, 20 dan 21 Mei tahun depan.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin turut mengesahkan perkara itu.

Noor Ehsanuddin, 57, yang juga ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hadir ke mahkamah dengan memakai sut lengkap berwarna kelabu.

Advertisement

Sementara itu, Farah Yasmin ketika ditemui pemberita berkata perbicaraan kes itu bermula pada Ogos tahun lepas dengan 24 saksi pendakwaan antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia memberi keterangan.

Noor Ehsanuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Advertisement

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima tuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kesemua pertuduhan itu dibicarakan secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini semalam di hadapan Ahmad Kamar.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top