JOHOR BAHRU, 17 OKT : Tidak kurang daripada 30 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak berlaku setiap bulan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, berdasarkan statistik semasa, dari bulan Januari hingga Jun lepas menunjukkan sebanyak 309 kes telah dicatatkan.
Katanya, manakala dari Januari sehingga Disember tahun lalu, terdapat 294 kes kanak-kanak yang memerlukan pelindungan dan pemeliharaan.
“Terdapat peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak setiap bulan. Jadi peranan pegawai pelindung kanak-kanak perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal.
“Dalam pada itu, kerajaan juga memperkenalkan Unit Perlindungan dan Keperluan Kanak-Kanak atau Child Care Needs and Child Protection Unit (CCNCPU) yang berfungsi untuk meningkatkan profesionalisma serta membangunkan kompetensi dalam bidang perlindungan kanak-kanak.
“Amalan yang digariskan oleh CCNCPU ini adalah selaras dengan piawaian amalan perlindungan kanak-kanak terbaik antarabangsa atau international best practice,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Pemerkasaan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak : Ke Manakakah Kita? Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Negeri Johor 2019 di Bilik Multimedia, Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.
Cai Tung yang juga Adun Johor Jaya berkata, dalam dunia moden dan global yang penuh dengan cabaran ini, kanak-kanak terdedah dan berhadapan dengan pelbagai risiko jenayah serta penganiayaan.
Katanya, semakin membimbangkan apabila ada sebahagian ibu bapa atau penjaga yang kurang mengambil berat soal keselamatan, hak dan kebajikan anak-anak.
“Justeru, saya amat yakin dan percaya program pemerkasaan seumpama ini merupakan sebagai langkah proaktif dan segera yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.
“Di mana ia bertujuan untuk memperkasakan pasukan pelindung dengan ilmu dan kemahiran agar dapat melaksanakan tugas berat yang diamanahkan oleh kerajaan.
“Pada masa yang sama, kita perlu berganding bahu menyusun dan mengatur strategi yang jitu untuk berhadapan dengan pelbagai kes-kes yang melibatkan kanak-kanak. Kerana isu perlindungan keselamatan dan hak kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama,”katanya lagi.
JohorKini